KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner hari ini, diberitahu seseorang penulis mungkin memadam, mengubah atau menghilangkan tulisan yang ditulisnya sendiri.
Perkara itu dimaklumkan saksi ke-74, Dr Linthini Gannetion, yang juga pemeriksa dokumen forensik dan pakar tulisan tangan bertauliah, ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya, Dana Arabi Wazani berhubung dapatan beliau mengenai 'pengubahsuaian tanpa kebenaran' dalam Laporan Pemeriksaan Dokumen Forensik (Bahagian II) serta penyata saksinya.
Dana bertanya sama ada seseorang penulis boleh memadam, meminda atau menghilangkan tulisannya sendiri dan Linthini menjawab perkara itu adalah mungkin.
Beliau turut bersetuju kewujudan kesan pemadaman atau penghapusan tulisan tidak semestinya bermaksud dokumen itu sudah diusik atau diubah individu lain.
Linthini, 34, juga bersetuju penulis yang sama boleh menyambung atau menambah catatan pada masa berlainan menggunakan pen berbeza.
Bagaimanapun, beliau berkata, penggunaan pen berlainan untuk membuat pembetulan atau menambah maklumat dalam dokumen sedia ada, adalah sesuatu yang 'agak pelik'.
Linthini turut memberitahu Koroner Amir Shah Amir Hassan bahawa analisis penentuan usia dakwat tidak dijalankan kerana Malaysia tidak mempunyai pangkalan data yang diperlukan untuk ujian berkenaan.
Pada Selasa lalu, Linthini membacakan penyata saksinya yang menyatakan beliau tidak dapat menolak secara muktamad kemungkinan wujud unsur gangguan atau pengubahsuaian terhadap halaman yang dikoyakkan, ditandakan sebagai Y1 hingga Y15.
Kesimpulan itu dibuat berdasarkan pemerhatian terhadap halaman yang dikeluarkan, perbezaan jenis dakwat pada bahagian tertentu, kewujudan tulisan yang dipadam atau dihilangkan, serta perbezaan corak tarikh pada beberapa halaman.
Linthini berkata, beliau tidak dapat membuat kesimpulan mengenai karangan dokumen ditandakan sebagai Y1A hingga Y10A kerana ketiadaan sampel tulisan tangan sezaman untuk perbandingan.
Apabila ditanya sama ada frasa 'corak karangan bercampur' boleh dianggap sebagai bukti bahawa dokumen Y1A hingga Y10A ditulis individu selain Zara Qairina Mahathir, Linthini menjawab perkara itu kekal tidak dapat dipastikan.
Beliau turut bersetuju sebahagian keterangannya menyokong kemungkinan dokumen itu ditulis oleh Zara Qairina, sebahagiannya tidak konklusif disebabkan kekangan tertentu dan tidak membuktikan secara muktamad bahawa pendapat pakar tulisan tangan lain, Nurul Atiqah Mohd Noh, adalah salah.
Katanya, apabila bukti yang ada tidak mencukupi, kesimpulan sewajarnya ialah 'tiada kesimpulan' dan penggunaan istilah itu mencerminkan sikap profesional yang berhati-hati, bukannya penemuan bahawa dokumen itu ditulis individu berbeza.
Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan daripada saksi pakar baharu.






















