KUALA LUMPUR: Seorang lelaki yang cuba melarikan diri daripada polis ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari jejambat di Jalan Pantai Dalam di sini, semalam.
Sebelum itu, suspek yang memandu kereta Proton Wira bersama dua rakannya terbabit kemalangan dengan kereta Perodua Axia dan sebuah kenderaan polis jenis Honda Civic pada jam 9.50 malam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata siasatan awal mendapati kejadian bermula kira-kira jam 7.45 malam apabila anggota unit peronda polis (MPV) Balai Polis Petaling Jaya yang menjalankan tugas rondaan cegah jenayah mengejar Proton Wira berkenaan kerana disyaki terbabit kegiatan jenayah.
Katanya, kejadian itu dipercayai bermula dari Lebuhraya Pantai Baharu (NPE) berhampiran Tol Taman Dato Harun, Petaling Jaya sehingga ke Jalan Pantai Dalam.
"Apabila tiba di lokasi, Proton Wira yang dipandu seorang lelaki tempatan yang masih belum dikenal pasti identitinya melanggar sebuah Perodua Axia yang sedang bergerak di lorong sama.
"Kenderaan MPV polis kemudian mengambil tindakan menghalang Proton Wira itu sehingga berlaku pelanggaran pada bahagian sisi kenderaan polis," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Fadil berkata, selepas kenderaan berhenti, pemandu Proton Wira keluar daripada keretanya dan dipercayai terjun dari sebuah jejambat sebelum dia ditemukan meninggal dunia di lokasi.
"Mayat suspek dibawa ke Unit Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Dua penumpang lelaki berusia 29 dan 31 tahun berada dalam Proton Wira itu dengan seorang daripada mereka patah kaki kanan dan menerima rawatan di PPUM, manakala seorang lagi yang tidak cedera ditahan bagi membantu siasatan kes," katanya.
Beliau berkata, pemandu Perodua Axia iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dan pemandu MPV polis berusia 38 tahun juga tidak cedera.
Katanya, pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan suspek menemukan satu beg mengandungi bahan disyaki dadah jenis syabu dan pil kuda, manakala hasil saringan awal ujian air kencing ke atas suspek yang ditahan mendapati dia positif methamphetamine.
"Semakan turut mendapati kedua-dua penumpang kereta ada beberapa rekod jenayah dan kesalahan dadah lampau dengan seorang daripadanya dikesan sebagai orang dikehendaki.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kemalangan itu disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Katanya, orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields atau Hotline Polis Brickfields di talian 03-22979222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Balai Polis Trafik Tun HS Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.
























