BH Online
Ringkasan Berita

PRN Johor: Pengerusi PN sudah tandatangan watikah pelantikan calon

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan sudah menandatangani watikah calon daripada parti gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.
PRN Johor: Pengerusi PN sudah tandatangan watikah pelantikan calon

Foto FB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA TERENGGANU: Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan sudah menandatangani watikah calon daripada parti gabungan itu untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan depan.

Ahmad Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu dalam hantaran di Facebook, memaklumkan, watikah pelantikan calon daripada PN bagi menghadapi PRN Johor ditandatangani malam tadi.

Katanya, setiap tandatangan bukan sekadar memenuhi proses pencalonan, tetapi amanah besar untuk membawa suara rakyat, menawarkan penyelesaian dan membina masa depan Johor yang lebih baik.

"Kita sudah menandatangani watikah pelantikan calon dan surat kebenaran menggunakan simbol parti untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

"Semoga Allah merestui dan mengurniakan kemenangan kepada semua calon daripada PN dan dipermudah segala urusan," katanya.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dilaporkan berkata, pengagihan kerusi bagi PRN Johor membabitkan PAS, BERSATU, GERAKAN dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) juga selesai secara harmoni.

Menteri Besar Kedah itu dilaporkan berkata, semua calon mewakili parti komponen akan bertanding menggunakan logo PN.

Difahamkan, calon BERSATU paling banyak memperoleh kerusi iaitu di 34 kawasan Dewan Undangan negeri (DUN).

Sementara itu, Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS turut berkata, PN memberi keutamaan ketegasan dan pertahankan disiplin gabungan pada PRN Johor.

Katanya, proses rundingan kerusi bagi menghadapi PRN Johor sudah diselesaikan secara muafakat melalui mekanisme rasmi PN.

"Sudah tiba masanya semua kepimpinan dan jentera parti komponen memberikan sepenuh tumpuan kepada gerak kerja pilihan raya.

"Keutamaan kita adalah menawarkan kepimpinan yang berintegriti, dasar membela rakyat serta membawa harapan baharu demi kesejahteraan rakyat Johor," katanya.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Parlimen Kemaman turut mengesahkan sudah mengambil maklum kenyataan media Naib Presiden BERSATU berkaitan beberapa perkara dan sudah dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi PN.

"Saya menegaskan bahawa PN adalah sebuah gabungan politik yang bergerak berdasarkan Perlembagaan, disiplin organisasi dan keputusan bersama.

"Setiap parti anggota, termasuk BERSATU, mempunyai ruang sepenuhnya untuk menyuarakan pandangan, mengemukakan bantahan dan mempertahankan pendirian masing-masing dalam mesyuarat," katanya.

Beliau berkata, apabila sesuatu ketetapan sudah dibuat melalui mekanisme rasmi gabungan, semua pihak wajib menghormatinya dan PN tidak boleh dijadikan medan untuk mana-mana parti memilih keputusan yang mahu diterima dan mempertikaikan ketetapan yang tidak selari dengan pendirian mereka.

"Saya kesal apabila perkara dalaman gabungan dibawa ke ruang awam selepas mesyuarat berakhir," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan