KUALA LUMPUR: Media Prima Berhad melancarkan Ruang Rehat, sebuah inisiatif sosial berskala nasional bagi membantu rakyat Malaysia mengurus tekanan serta menggalakkan rakyat mengutamakan kesejahteraan mental dan emosi sebagai sebahagian daripada gaya hidup sihat.
Inisiatif merentas pelbagai platform itu dilaksanakan menerusi televisyen, radio, digital, percetakan serta pengiklanan luar (OOH) dengan membawa mesej utama "Jaga Minda, Jaga Hati, Sayangi Diri" sepanjang tempoh kempen dari Jun hingga Oktober tahun ini.
Pelancaran inisiatif berkenaan hadir ketika isu kesejahteraan mental semakin mendapat perhatian masyarakat, khususnya dalam suasana kehidupan moden yang semakin pantas dan menuntut keseimbangan antara kerjaya, keluarga serta kehidupan peribadi.
Menerusi kempen itu, orang ramai turut diajak meluangkan masa untuk berhenti seketika daripada rutin harian melalui hab digital ruangrehat.my yang menyediakan pelbagai kandungan berkaitan kesejahteraan diri termasuk artikel, senarai main audio serta zon terapi visual.
Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Rafiq Razali, berkata inisiatif berkenaan dilaksanakan dengan matlamat menjadikan amalan merehatkan minda sebagai sebahagian daripada budaya hidup sihat rakyat Malaysia.
"Melalui kekuatan dan jangkauan luas platform Media Prima, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia memberi perhatian terhadap kesejahteraan mental menerusi amalan rehat yang berkualiti, refleksi diri serta keseimbangan hidup.
"Kami percaya penjagaan kesihatan mental secara konsisten mampu membantu individu menjalani kehidupan yang lebih positif dan produktif," katanya.
Beliau berkata, masyarakat juga perlu mengubah persepsi bahawa mengambil masa untuk berehat atau mengurus emosi merupakan satu kelemahan.
Sebaliknya, langkah itu penting dalam membantu seseorang mengekalkan keseimbangan hidup serta kesejahteraan diri.
Selepas pelancaran ini, Ruang Rehat akan diteruskan menerusi beberapa fasa termasuk aktiviti komuniti serta pengalaman fizikal bagi mendekatkan pengalaman kesejahteraan digital kepada masyarakat.























