BH Online
Ringkasan Berita

Kurang 1 peratus pengguna RON95 guna lebih 200 liter sebulan - Amir Hamzah

KUALA LUMPUR: Data menunjukkan secara konsisten kurang daripada satu peratus daripada 14 juta pengguna dalam sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan lebih daripada kuota 200 liter sebulan.
Kurang 1 peratus pengguna RON95 guna lebih 200 liter sebulan - Amir Hamzah

Foto fail NSTP

KUALA LUMPUR: Data menunjukkan secara konsisten kurang daripada satu peratus daripada 14 juta pengguna dalam sistem BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan lebih daripada kuota 200 liter sebulan.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, berkata data yang dikeluarkan itu telus kerana ia dinilai dari pemantauan harian menerusi penggunaan nombor kad pengenalan pengguna.

"Siapa mahu menggunakan BUDI95 dia kena letak kad pengenalan dalam sistem (BUDI95). Setiap hari ada tiga juta transaksi. Kita teliti dalam 'database' yang kita ada. Jadi kita boleh nampak, analisis dan boleh pastikan.

"Sejak (dilaksana bermula) Oktober 2025 sampai bulan lalu, kita sudah melihat (pelaksanaan) BUDI95 berjalan lancar dalam seluruh negara," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan Datuk Seri Hasni Mohammad (BN-Simpang Renggam), Amir Hamzah berkata, merujuk data penggunaan diesel dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), lebih 80 peratus pengguna mencatat penggunaan di bawah paras 200 liter sebulan, dengan purata penggunaan sekitar 140 liter sebulan.

"Namun, mengambil kira majoriti kenderaan diesel rakyat ialah jenis Jip dan pikap, kerana menjadi pengangkutan utama barangan untuk peniaga kecil dan kenderaan penumpang di pedalaman, kerajaan menyediakan kelayakan tambahan BUDI MADANI Diesel 100 liter yang boleh dipohon.

"Berdasarkan data DOSM, 95 peratus pengguna diesel menggunakan kurang daripada 300 liter sebulan. Dengan ini, kelayakan 300 liter sebulan mencukupi untuk rakyat terbanyak," katanya.

Beliau berkata, penggunaan MyKad bagi penyaluran subsidi ini berjaya menutup ruang ketirisan yang membazirkan bukan sahaja subsidi dari wang rakyat, tetapi bekalan bahan api yang amat kritikal pada waktu krisis ini.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi, di saat krisis ini, kita mahu bekalan diesel kekal di pasaran negara. Kita mahu rakyat terus menikmati diesel pada harga yang bersubsidi.

"Pembaharuan ini boleh menutup ketirisan, menjamin bekalan di saat krisis, dan memastikan hanya rakyat Malaysia mempunyai keistimewaan menikmati subsidi," katanya.

Minggu lalu, kerajaan memperkenalkan kuota tambahan 100 liter diesel bersubsidi kepada pemilik kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, menerusi mekanisme BUDI MADANI, selain kuota asas 200 liter sebulan pada harga RM2.10 seliter.

Amir Hamzah ketika memperincikan pelaksanaan inisiatif baru itu memaklumkan dasar berkenaan akan berkuat kuasa 1 Julai ini, dirangka bagi memenuhi keperluan warganegara Malaysia yang layak menggunakan kenderaan diesel.

Video Terkini

Berita Berkaitan