KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka mencapai sasaran 35 peratus penggunaan tenaga boleh baharu (TBB) dalam campuran kapasiti kuasa lebih awal berbanding sasaran ditetapkan pada 2030, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.
Timbalan Perdana Menteri berkata, ketika ini, negara sudah mencapai 33 peratus dan sedang bergerak mencapai sasaran seterusnya iaitu 40 peratus menjelang 2040.
"Menjelang 2050, kita kena bekalkan tenaga boleh baharu sebanyak 70 peratus. Sekarang ini kita sudah mencapai hampir 33 peratus. Menjelang 2030, sasaran kita 35 peratus. Insya-Allah, kita akan capai lebih awal.
"Pada 2040, kita kena capai 40 peratus, kemudian 2050, iaitu 70 peratus. Itu komitmen kita," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff (PN-Rantau Panjang) pada sesi pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kerajaan perlu memastikan keterjaminan bekalannya, selain memastikan bekalan tenaga yang dihasilkan, mampu dibiayai bukan sahaja oleh rakyat, tetapi juga industri.
"Paling cepat sekarang ini solar dan solar diperlukan juga sebab sifatnya tidak tentu. Siang, kadarnya tinggi, malam, tak ada. Jadi, bagaimana kita nak jimatkan tenaga dikeluarkan pada waktu siang supaya kita dapat simpan untuk dijanakan pada waktu malam.
"Sebab itu kita kena perkenalkan juga bateri, 'storage system'. Ini semua sudah kita buat dan bila kita laksanakan, ianya dibuat secara tender terbuka untuk menggalakkan penglibatan secara telus semua pihak," katanya.
"Ada juga pihak luar negara berminat. Dasar kita kalau ada dari luar negara, majoriti 'share holder' mesti di kalangan syarikat tempatan, iaitu 51 peratus mesti daripada ekuitinya dimiliki rakyat tempatan. Itu dasar dilaksanakan untuk memastikan ianya akan membantu membangunkan juga industri tempatan kita," katanya.
Beliau berkata, cabaran utama ketika ini adalah bagaimana mahu imbangi keperluan menghasilkan tenaga, tapi pada masa sama memastikan sistem grid terjamin.
"Ini cabaran paling tinggi. Tapi pada masa sama, akan ada pihak yang boleh memberi pinjaman. Ini juga menjadi isu yang perlu kita imbangi. Kalau kita nak buat program, tapi tidak ada pihak yang memberi pinjaman, jadi ianya tidak akan berjaya.
"Sebab itulah kita melaksanakan 'engagement', libat urus dengan semua pihak, dan akhirnya apa yang kita perkenalkan setakat ini, misal kata Skim Perbaharui Bekalan Tenaga Korporat (CRESS), Komuniti Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Baharu (CREAM), Solar ATAP yang kita perkenalkan, sambutannya begitu baik bukan saja rakyat, tapi juga syarikat dalam dan luar negara," katanya.
























