KUALA LUMPUR: Parti Cinta Malaysia (PCM) sudah mengemukakan dokumen berkaitan pindaan Perlembagaan parti itu dan perubahan kepimpinan di bawah Parti Wawasan Negara (WAWASAN) kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Isnin lalu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad, berkata, sehingga kini ROS masih dalam proses meneliti dokumen berkenaan sebelum menetapkan sebarang keputusan termasuk keabsahan parti itu menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN).
"Selaras dengan peruntukan Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832) setiap permohonan dan
dokumen yang diterima perlu melalui proses semakan serta penelitian terperinci bagi
memastikan pematuhan terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa dan Perlembagaan PCM.

"Sekiranya terdapat keperluan untuk mendapatkan penjelasan lanjut atau dokumen tambahan, pihak PCM akan diminta untuk
mengemukakan maklumat yang berkaitan bagi melengkapkan proses penelitian terbabit.
"Sebarang keputusan akan dimaklumkan mengikut prosedur yang ditetapkan," katanya kepada BH, di sini.
Sebelum ini, mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN (MTPN) memutuskan untuk menerima dua parti kompoen baharu ke dalam gabungan PN iaitu PEJUANG dan WAWASAN yang nama asalnya ialah PCM.
Namun, Naib Presiden BERSATU, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilaporkan membantah cadangan PN menerima kemasukan WAWASAN yang dipimpin bekas Timbalan Presiden BERSATU, Datuk Seri Hamzah Zainudin kerana prosesnya tidak teratur.
Pada masa sama, Mohd Zulfikar berkata, ROS juga ingin menjelaskan bahawa penggunaan mana-mana logo parti politik oleh pertubuhan berdaftar hanya boleh dibuat setelah mendapat kelulusan jabatab itu.
Beliau berkata, ia adalah selaras
dengan peruntukan Akta 832dan peraturan-peraturan yang berkuat kuasa.
"Namun demikian, penggunaan logo berkenaan bagi maksud pilihan raya adalah tertakluk kepada pertimbangan, syarat dan bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berdasarkan peruntukan undang-undang yang berkaitan.
"ROS sentiasa komited dalam melaksanakan fungsi dan tanggungjawabnya secara
profesional, telus, adil dan berintegriti selaras dengan peruntukan undang-undang
yang berkuat kuasa," katanya.
Beliau berkata, sebarang pertimbangan dan keputusan berhubung perkara terbabit akan dibuat berdasarkan fakta, dokumen serta peruntukan perundangan yang
berkaitan tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan atau pihak.
























