BH Online
Ringkasan Berita

Bawa masuk WAWASAN dalam PN, Tun Faisal ibaratkan PAS 'tikus baiki labu'

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS membawa masuk Parti Wawasan Negara (WAWASAN) diterajui Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke dalam Perikatan Nasional (PN) tidak ubah seperti ‘tikus membaiki labu’.
Bawa masuk WAWASAN dalam PN, Tun Faisal ibaratkan PAS 'tikus baiki labu'

Datuk Tun Faisal Ismail Aziz.

KUALA LUMPUR: Tindakan PAS membawa masuk Parti Wawasan Negara (WAWASAN) diterajui Datuk Seri Hamzah Zainuddin ke dalam Perikatan Nasional (PN) tidak ubah seperti 'tikus membaiki labu'.

Ketua Penerangan BERSATU, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz, berkata ini kerana tindakan itu bukan hanya tidak mampu mengukuhkan PN, malah berisiko menimbulkan konflik dan ketidakharmonian dalam gabungan terbabit.

Beliau berkata, perkembangan itu juga menunjukkan Hamzah kini menjadi punca perpecahan dalam PN, selepas melakukan tindakan sama terhadap bekas partinya dahulu.

"Walaupun PAS menggunakan naratif penyatuan ummah dan Melayu, tindakan PAS sebenarnya menyebabkan PN semakin berpecah-belah dan bukannya semakin kuat.

"Persoalannya, adakah wajar PAS memutuskan hubungan dengan BERSATU, sebuah parti Melayu-Islam yang besar dalam PN, untuk bekerjasama dengan WAWASAN yang didakwa lebih kecil dan tidak jelas ideologinya," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN yang menerima kemasukan WAWASAN dan sebuah lagi parti, PEJUANG yang dipimpin Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Pada masa sama, Tun Faisal juga mempertikaikan tindakan PAS yang menyokong individu yang dikenakan tindakan disiplin oleh BERSATU, termasuk mereka yang didakwa melanggar perlembagaan parti dan disiplin organisasi dengan menerima kemasukan mereka ke dalam PN.

Beliau berkata, PAS tidak sepatutnya berusaha untuk membawa masuk WAWASAN dalam keadaan parti itu belum selesai penjenamaan semulanya dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"PAS juga tidak komited kepada PN apabila berulang kali menyuarakan hasrat menghidupkan Muafakat Nasional (MN) dan dikaitkan dengan rundingan politik di luar PN.

"Parti pimpinan Tan Sri Abdul Hadi Awang itu juga dilihat seolah-olah sengaja melengah-lengahkan persiapan menghadapi PRN (Pilihan Raya Negeri) Johor, Negeri Sembilan dan Melaka, termasuk rundingan kerusi serta mesyuarat penting PN," katanya.

Beliau berkata, jika PAS benar-benar mahu bekerjasama dengan UMNO dan Hamzah, parti itu sepatutnya meninggalkan PN secara sukarela dan membentuk gabungan baharu bersama UMNO dan WAWASAN.

"Pendekatan PAS ketika ini tidak mengukuhkan PN atau agenda penyatuan Melayu-Islam, sebaliknya menimbulkan lebih banyak pertikaian, ketidakpercayaan dan perpecahan.

"Penyatuan hanya boleh dicapai melalui kejujuran, keadilan, penghormatan terhadap rakan gabungan serta rundingan yang telus, bukannya melalui campur tangan dan rundingan politik di belakang," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan