KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin daripada tuduhan memfitnah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, berhubung sesi menghadap pemimpin politik dua tahun lalu.
Mahkamah juga mengarahkan Badrul Hisham membela diri terhadap tuduhan itu.
Hakim Noor Ruwena Md Nurdin membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada November tahun lalu yang membebaskan Badrul Hisham atau dikenali Chegubard, 47.
Ruwena berkata selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak dan meneliti rekod rayuan, mahkamah berpuas hati bahawa terdapat keterangan yang boleh dipercayai menunjukkan bahawa kenyataan yang dibuat oleh responden adalah tidak benar dan bersifat memfitnah.
Justeru, katanya, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap responden (Badrul Hisham) dan dengan itu beliau dipanggil untuk membela diri terhadap pertuduhan itu.
Mahkamah Tinggi mengarahkan kes ini dikembalikan ke Mahkamah Sesyen di hadapan hakim yang sama untuk meneruskan peringkat pembelaan.
Badrul Hisham yang juga bekas Ketua Bahagian BERSATU Port Dickson yang hadir di mahkamah, kelihatan tenang mendengar keputusan itu.
Pada 4 November tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Norma Ismail membebaskannya selepas memutuskan bahawa pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Jabatan Peguam Negara memfailkan rayuan pada hari sama.
Dalam keputusannya hari ini, Ruwena berkata pada akhir kes pendakwaan, penjelasan yang masih tidak dapat disangkal adalah mengenai dakwaan sesi menghadap dengan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, hakikatnya, perkara itu tidak berlaku kerana jika ia benar-benar berlaku seperti yang didakwa, pihak istana sudah tentu akan menarik balik laporan polis tetapi perkara itu tidak pernah dilakukan.
"Menurut pihak istana, tiada perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk pertemuan tersebut.
"Ini bermakna tiada pertemuan yang diperkenankan dan sebenarnya ia tidak pernah berlaku.
"Malah sehingga penutupan kes pendakwaan, tiada sebarang bukti atau kenyataan yang mengesahkan bahawa pertemuan itu benar-benar berlaku," katanya.
Beliau berkata tiada dapatan bahawa Pegawai Perhubungan Media Istana, Mohd Husni Yusop, yang diarahkan oleh Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara untuk membuat laporan polis berhubung perkara itu, saksi yang tidak boleh dipercayai atau keterangannya tidak boleh diterima.
"SP1 (Husni) menjelaskan bahawa tiada perkenan diberikan dan pertemuan itu tidak berlaku. Maka ia adalah satu fitnah dan menjadi teras kepada kes pendakwaan," katanya.
Ruwena mengarahkan kes itu disebut semula di Mahkamah Sesyen esok bagi menetapkan tarikh perbicaraan.
Pendakwaan diwakili oleh Timbalan Pendakwa Raya Faizal @ Amrin Noor Hadi, manakala peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Badrul Hisham.
Pada April tahun lalu, Badrul Hisham didakwa membuat kenyataan berunsur fitnah sedangkan beliau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kenyataan tersebut boleh menjejaskan reputasi Yang di-Pertuan Agong.
Kesalahan yang didakwa itu berlaku pada jam 6 petang di Istana Negara pada 22 Januari.
Pertuduhan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
























