KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menzahirkan kegusaran serius terhadap tindakan kerajaan Norway menarik balik serta membatalkan lesen eksport peluru berpandu anti kapal (NSM) yang diperuntukkan bagi projek Kapal Tempur Pesisir (LCS).
Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, berkata ini memandangkan kerajaan sudah menjelaskan bayaran mencecah 95 peratus daripada jumlah kontrak keseluruhan.
"Adalah menjadi harapan PAC supaya kerajaan memberikan komitmen sepenuhnya dalam memantau garis masa penyerahan LCS supaya LCS dapat disiapkan dengan sistem pertahanan yang lengkap dengan fungsi tempur sempurna.
"Kerajaan hendaklah memanfaatkan sepenuhnya ruang rundingan damai atau prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi setimpal mengikut terma-terma kontrak yang sudah dipersetujui," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semalam PAC sudah menerima taklimat khas daripada Kementerian Pertahanan bagi mendapatkan perincian menyeluruh mengenai isu pembekalan kontrak berkenaan.
"PAC menegaskan kerajaan memperkukuh segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian yang adil serta memastikan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara," katanya.
Mei lalu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Malaysia tetap meneruskan tindakan saman ke atas pembekal NSM berpangkalan di Norway berikutan kegagalan syarikat itu menghantar aset pertahanan berkenaan susulan pembatalan lesen eksport oleh kerajaan negara terbabit.
Beliau berkata, tindakan itu diteruskan biarpun rakan sejawatannya dari Norway, Tore O Sandvik sebelum ini sudah menyatakan permohonan maaf berhubung keputusan kerajaan negaranya membatalkan lesen eksport NSM kepada Malaysia.
Kerajaan Norway sebelum ini dilapor membatalkan lesen eksport peluru berpandu antikapal NSM kepada Malaysia serta sistem pelancar berkaitan atas alasan untuk melindungi keselamatan negara itu.
NSM adalah peluru berpandu antikapal berkeupayaan melaksanakan serangan maritim jarak jauh pada kelajuan subsonik tinggi dengan capaian melebihi 300 kilometer.
Menurut laman sesawang Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), perolehan NSM dimeterai antara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan KDA pada April 2018, dengan nilai kontrak 124 juta euro (RM571.9 juta) bagi melengkapkan enam LCS baharu TLDM.
























