KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) antaranya bagi memberi lebih kuasa kepada Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam usaha membendung amalan antipersaingan termasuk berkaitan tawaran pakej umrah.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Dr Fuziah Salleh, berkata amalan antipersaingan dalam pakej umrah antara perkara yang sudah dikesan MyCC, disiasat dan diambil tindakan.
"Jadi bila pakej umrah, mereka pakat sama-sama dia, (membabitkan) lebih 80 syarikat.
"Jadi dia (syarikat pengendali umrah) tak boleh tawarkan harga rendah, biarpun itu bukan pakej mahal, tapi tawaran harganya itu dia dapat kawal. Jadi ini memang antara kerja-kerja MyCC dan memang MyCC memandang serius berkenaan dengan amalan antipersaingan ini.
"Insya-Allah ada pindaan undang-undang yang akan dibentangkan (di Parlimen) untuk bacaan kali kedua berkaitan Akta 712 ini untuk memberikan lebih kuasa kepada akta ini pada minggu depan," katanya menjawab soalan Tan Kar Hing (PH-Gopeng) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Ismail Abd Muttalib (PN-Maran), Fuziah berkata, MyCC sedang meneliti ekosistem industri simen yang merupakan antara faktor mempengaruhi kos projek perumahan.
Katanya, dapatan menunjukkan peningkatan harga simen berlaku susulan perubahan struktur pasaran akibat aktiviti percantuman dan pengambilalihan yang meningkatkan penumpuan pasaran dalam rantaian bekalan simen dan mengurangkan intensiti persaingan harga apabila bilangan pemain utama menjadi lebih terhad.
"Bagaimanapun, kenaikan harga simen turut dipengaruhi faktor lain seperti kos bahan mentah seperti arang batu, kos pengeluaran seperti tenaga dan bahan api serta kos logistik dan pengangkutan yang berhubung kait dengan faktor geografi dan lokasi kilang pengeluaran," katanya.
Selain itu, katanya MyCC turut memantau perolehan kerajaan bagi membendung kartel tipuan bida termasuk perolehan berkaitan dengan pasaran perumahan.
"Setakat ini, tiada siasatan membabitkan projek perumahan kerajaan. Namun, MyCC sudah mengenakan penalti RM97.31 juta terhadap 26 perusahaan yang terbabit dalam kartel tipuan bida bagi pelbagai tender kerajaan seperti projek jalan raya, pembinaan, penyelenggaraan dan perkhidmatan teknologi maklumat.
"MyCC mengalu-alukan aduan orang awam dan perusahaan yang terkesan dengan perlakuan antipersaingan berkaitan dengan tawaran harga dan pakej perumahan dalam pasaran perumahan. MyCC tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan penguatkuasaan tegas jika aduan itu mempunyai merit," katanya.
























