KUALA TERENGGANU: Pemandu lori membuat pinjaman daripada rakannya untuk sertai pelaburan dan kerja sampingan yang ditawarkan menerusi media sosial, tetapi akhirnya kerugian lebih RM80,000 apabila ditipu.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor, berkata mangsa lelaki berusia 35 tahun membuat laporan polis semalam selepas menyedari diperdaya suspek yang menyamar sebagai wakil sebuah syarikat.
Katanya, sebelum itu mangsa dikatakan tertarik dengan iklan tawaran pendapatan sampingan di Facebook sebelum berhubung dengan beberapa individu menerusi aplikasi WhatsApp dan Telegram pada 3 Jun lalu.
Beliau berkata, suspek kemudian menerangkan tugasan yang perlu dilakukan iaitu klik barangan pada sistem yang disediakan kononnya bagi mendapatkan komisen dan keuntungan.
"Selepas bersetuju dengan tawaran itu, mangsa kemudian melakukan 'tugasan' berkenaan dan menerima beberapa kali bayaran pada peringkat awal.
"Mangsa kemudian dimaklumkan kononnya telah memperoleh keuntungan sehingga RM400,000 hasil tugasan yang dilakukan," katanya.
Namun bagi membolehkan keuntungan itu dikeluarkan, mangsa diarahkan membuat beberapa bayaran tambahan.
Azli berkata, percaya dengan janji berkenaan, mangsa melakukan 21 transaksi pemindahan wang ke enam akaun berbeza membabitkan jumlah keseluruhan RM80,580 antara 11 hingga 22 Jun lalu.
Bagaimanapun katanya, mangsa tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan sebaliknya suspek terus meminta mangsa membuat bayaran tambahan.
"Menyedari dirinya ditipu, mangsa membuat laporan polis," katanya.
Mangsa menggunakan wang hasil pinjaman daripada rakan-rakannya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
























