BH Online
Ringkasan Berita

Sistem log pendaftaran pendakian digital akan diwujudkan, elak insiden hilang di hutan

KUALA LUMPUR: Sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional akan diwujudkan bagi memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan aktiviti pendakian khususnya di kawasan gunung.
Sistem log pendaftaran pendakian digital akan diwujudkan, elak insiden hilang di hutan

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Syed Ibrahim Syed Noh. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Sistem log pendaftaran pendakian secara digital di peringkat nasional akan diwujudkan bagi memperkukuh aspek keselamatan, pemantauan dan pengurusan aktiviti pendakian khususnya di kawasan gunung.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, sistem itu membantu merekod pergerakan pendaki secara lebih sistematik, mempercepat proses pengesanan sekiranya berlaku kecemasan serta menyokong pelaksanaan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Kementerian melalui Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dengan kerjasama Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sedang membangunkan sistem pengurusan trek pendakian yang berasaskan teknologi geospatial, sistem maklumat geografi (GIS) dan penderiaan jauh (remote sensing).

"Sistem ini menyokong pemetaan dan pemantauan laluan pendakian, pengurusan maklumat trek secara berpusat serta meningkatkan keupayaan operasi SAR melalui analisis spasial yang lebih tepat dan komprehensif," katanya menjawab Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Mohd Isam mahu tahu usaha sedang digerakkan kementerian bagi mewujudkan suatu piawaian keselamatan nasional di semua laluan pendakian seluruh negara bagi mengurangkan insiden kehilangan melibatkan kumpulan pendaki.

Mengulas lanjut, Syed Ibrahim berkata, pelbagai program dilaksana bersama malim gunung atau pemandu pelancong alam semula jadi bagi meningkatkan aspek kemahiran dan kebajikan mereka.

Beliau berkata, antara program itu ialah latihan persijilan secara berkala, meliputi aspek-aspek keselamatan pendakian, pengurusan risiko, pertolongan cemas, ikhtiar hidup serta kemahiran mencari dan menyelamat.

"Kita lihat dari segi penambahbaikan kebajikan, kompetensi, profesionalisme Malim gunung, peranan mereka ini terus diperkasakan selaras peningkatan aktiviti pendakian dan ekopelancongan negara.

"Pendekatan ini penting bagi memastikan keselamatan pendaki terus dipertingkat, di samping mengurangkan risiko kejadian tidak diingini daripada berulang pada masa hadapan," katanya.

Beliau akui wujud trend peningkatan kes kehilangan membabitkan pendaki yang melaksanakan aktiviti rekreasi di kawasan gunung.

"Tetapi amat penting, 'safety first' kerana sudah ada insiden berlaku di mana ada yang hilang kemudian ditemui, Ada juga hilang tidak dijumpai, selain hilang ditemui meninggal. Jadi perkara-perkara macam ini memang diambil serius oleh pihak kementerian.

"Sudah tentu kita mohon kerjasama semua pihak, sama ada agensi menyelamat yang terbabit, mahupun persatuan dan individu gemar mendaki, supaya mengambil langkah pencegahan yang lebih perlu," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan