PUTRAJAYA: Penasihat DAP, Lim Guan Eng dan isterinya, Betty Chew serta ahli perniagaan, Phang Li Koon, akan mengetahui keputusan kes mereka, esok, sama ada dibebaskan daripada pertuduhan atau diarah membela diri berhubung kes rasuah berkaitan projek asrama pekerja asing bernilai RM11.6 juta.
Ini berikutan Mahkamah Rayuan dijadual menyampaikan keputusan pada jam 9 pagi berhubung rayuan membatalkan pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapi mereka bertiga.
Kes rasuah yang masih belum bermula di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang itu membabitkan dakwaan berkaitan penganugerahan projek penempatan pekerja asing di negeri berkenaan ketika Guan Eng memegang jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang.
Rayuan itu tertumpu kepada persoalan sama ada pertuduhan berkenaan perlu dibatalkan atas alasan wujud penyalahgunaan proses mahkamah dan pergantungan kepada keterangan yang didakwa berkaitan prosiding terdahulu membabitkan pembelian sebuah banglo di Jalan Pinhorn oleh Guan Eng, yang mana beliau dilepas dan dibebaskan pada 2018.
Pada 3 Mei 2024, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak permohonan membatalkan pertuduhan itu dengan memutuskan bahawa doktrin autrefois acquit atau perlindungan daripada dibicarakan dua kali atas kesalahan sama tidak terpakai kerana syarat perundangan yang diperlukan tidak dipenuhi.
Pihak pembelaan berhujah bahawa pertuduhan semasa adalah sebahagian daripada siri transaksi yang sama dan sepatutnya boleh dibawa lebih awal, selain mendakwa pihak pendakwaan bergantung kepada keterangan daripada kes terdahulu.
Bagaimanapun, pihak pendakwaan menegaskan pertuduhan semasa adalah berdasarkan fakta berasingan dan berbeza, yang diperoleh menerusi siasatan lanjut selepas prosiding terdahulu selesai.
Guan Eng didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tender Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang untuk memperoleh suapan berkaitan kelulusan projek itu.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.
Li Koon pula didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu bersama bekas Menteri Kewangan itu di tempat dan masa sama.
Sementara itu, Chew berdepan tiga pertuduhan pengubahan wang haram kerana didakwa menerima RM372,009 daripada Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun Public Bank Berhad miliknya antara 2013 hingga 2016.
Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda tidak melebihi RM5 juta, atau kedua-duanya sekali.
Peguam Datuk V Sithambaram mewakili Li Koon, manakala RSN Rayer mewakili Guan Eng dan isterinya.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul.






















