KUALA LUMPUR: Kekurangan projek menjadi antara cabaran utama dihadapi kontraktor Bumiputera G1, susulan dakwaan 70 peratus daripada mereka masih belum memperoleh sebarang projek sepanjang enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata kerajaan mengambil maklum kebimbangan terbabit dan mengingatkan bahawa Perdana Menteri sebelum ini sudah mengumumkan peningkatan peruntukan projek bagi kontraktor G1 hingga G4 daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion bagi tahun ini.
Beliau berkata, peningkatan peruntukan itu diharap dapat membantu menangani masalah kekurangan projek yang dihadapi kontraktor kecil.
"Peruntukan untuk G1 hingga G4 sudah dinaikkan daripada RM2.4 bilion kepada RM4 bilion. Dengan peningkatan itu, sudah tentu ia dapat membantu menangani masalah kekurangan projek yang dibangkitkan.
"Bagaimanapun, dari segi kaedah pengagihan projek itu masih diperhalusi bagi memastikan pelaksanaannya dapat memberi manfaat kepada kumpulan sasar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, Kali Ke-13 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.
Sementara itu, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion, berkata kekurangan projek menjadi punca utama semakin ramai kontraktor Bumiputera G1 berdepan risiko gulung tikar, berbanding kenaikan harga bahan binaan disebabkan konflik Asia Barat.
Beliau berkata, kenaikan harga bahan binaan akibat konflik geopolitik hanya menghakis margin keuntungan kontraktor, namun cabaran sebenar ialah ramai langsung tidak memperoleh projek untuk dilaksanakan.
"Masalah utama bukan kenaikan harga bahan binaan. Kenaikan harga itu memang mengurangkan keuntungan kontraktor tetapi punca mereka gulung tikar ialah kerana tidak dapat projek.
"Seramai 70 peratus kontraktor G1 di seluruh Malaysia tidak dapat projek. Tahun ini sudah masuk pertengahan tahun tetapi masih ramai yang tidak menerima projek," katanya.
Mengulas kesan kenaikan harga bahan binaan pula, Tukiman berkata, kontraktor projek kerajaan tidak mempunyai ruang memindahkan peningkatan kos itu kepada pengguna kerana nilai kontrak sudah dipersetujui lebih awal.
Beliau berkata, keadaan terbabit menyebabkan kontraktor terpaksa menanggung sendiri kenaikan kos bahan binaan sehingga ada projek yang hampir tidak memberikan sebarang keuntungan.
Dalam pada itu, PERKOBF turut melahirkan kebimbangan peruntukan RM4 bilion yang diumumkan kerajaan bagi projek G1 hingga G4 tidak sampai kepada kumpulan sasar sekiranya mekanisme agihan tidak dilaksanakan secara telus.
Tukiman berkata, PERKOBF menggesa kerajaan mengembalikan kaedah cabutan undi secara perdana bagi projek kerajaan di seluruh negara bagi peluang memperoleh projek dapat diagihkan secara lebih adil kepada kontraktor kecil.
























