BH Online
Ringkasan Berita

Kerajaan teliti semula dasar kenaikan gred kontraktor G1

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula dasar mewajibkan kontraktor Bumiputera G1 menaikkan gred, susulan kebimbangan pelaksanaan dasar itu membebankan sebahagian pemain industri yang masih belum bersedia dari segi kewangan dan keupayaan.
Kerajaan teliti semula dasar kenaikan gred kontraktor G1

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, beramah mesra dengan ahli Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, pada Mesyuarat Perwakilan Tahunan PERKOBF Malaysia, hari ini. Foto Haidatul Elyani Herman/NSTP

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meneliti semula dasar mewajibkan kontraktor Bumiputera G1 menaikkan gred, susulan kebimbangan pelaksanaan dasar itu membebankan sebahagian pemain industri yang masih belum bersedia dari segi kewangan dan keupayaan.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata beliau mengambil maklum keluhan disuarakan Persatuan Kontraktor Bumiputera Kelas F (PERKOBF) Malaysia, termasuk cadangan dasar terbabit dikaji semula.

Beliau berkata, kementerian akan mengadakan perbincangan bersama agensi berkaitan sebelum membawa perkara itu ke peringkat lebih tinggi, termasuk Kementerian Kewangan, memandangkan ia membabitkan keputusan dasar yang dibuat pada 2019.

Katanya, kerajaan sentiasa mengiktiraf kontraktor kecil dan sederhana sebagai tulang belakang industri pembinaan negara serta mahu memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar memberi manfaat kepada kumpulan sasar.

"Kita mendengar keluhan mereka yang merasakan agak sukar untuk naik gred kerana peluang mendapatkan projek tidak sama. Apabila naik ke gred lebih tinggi, persaingan menjadi lebih sengit, manakala projek pula mungkin berkurangan.

"Saya sudah berbincang dengan pihak kementerian dan CIDB ( Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia) supaya dalam masa terdekat kita meneliti perkara ini terlebih dahulu sebelum dibawa kepada Kementerian Kewangan untuk melihat bagaimana kerajaan boleh membantu kontraktor G1," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Tahunan PERKOBF Malaysia Kali Ke-13 di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden PERKOBF, Tukiman Radion, berkata kontraktor G1 berdepan pelbagai kekangan untuk memenuhi syarat kenaikan gred, terutama ketika ramai tidak memperoleh projek kerajaan.

Beliau berkata, selain memerlukan modal sekurang-kurangnya RM25,000 untuk menaikkan gred, ramai kontraktor berusia turut berdepan kekangan menyesuaikan diri dengan keperluan teknologi dan pengurusan yang lebih kompleks.

"Sekarang kontraktor G1 pun tidak ada projek. Untuk naik gred kita perlukan modal minimum RM25,000. Dalam keadaan sekarang, hendak cari RM5,000 dalam akaun pun susah.

"Ramai dalam kalangan kami terdiri daripada golongan lama yang kurang mahir menggunakan komputer dan internet. Apabila naik ke gred lebih tinggi, pelbagai lagi keperluan yang perlu dipenuhi sedangkan kami belum bersedia," katanya.

Beliau berkata, persaingan yang semakin sengit di gred lebih tinggi turut menyebabkan ramai kontraktor memilih untuk kekal dalam kategori G1.

"Di G2 sekarang terdapat kira-kira 16,000 kontraktor Bumiputera. Pernah ada satu projek sebut harga di Kuala Lumpur yang disertai 80 kontraktor untuk satu projek sahaja. Bagaimana kami hendak bersaing?

"Sebab itu kami merayu supaya kerajaan tidak memaksa kontraktor yang belum bersedia untuk menaikkan gred kerana majoriti masih mahu kekal dalam kategori G1," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan