BH Online
Ringkasan Berita

Premis dijadikan sekolah Rohingya di Kampung Ladang Titian sudah dikosongkan

KUALA TERENGGANU: Bangunan dijadikan sekolah etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian, di sini, sudah dikosongkan sebelum tindakan sita bangunan dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), kelmarin.
Premis dijadikan sekolah Rohingya di Kampung Ladang Titian sudah dikosongkan

Bangunan dijadikan sekolah etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian di Kuala Terengganu sudah dikosongkan. - Foto NSTP/Ghazali Kori

KUALA TERENGGANU: Bangunan dijadikan sekolah etnik Rohingya di Kampung Ladang Titian, di sini, sudah dikosongkan sebelum tindakan sita bangunan dikeluarkan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), kelmarin.

Datuk Bandar Kuala Terengganu, Lizan Che Mat, berkata siasatan mendapati bangunan tambahan yang dibina, disewakan oleh pemilik premis berkenaan kepada seorang individu yang kemudian menyewakan pula kepada etnik Rohingya.

"Premis itu dijadikan sekolah dengan kadar sewaan kira-kira RM500 sebulan. Ia asalnya dibina dan dijadikan sebagai kedai runcit, tetapi disewakan kepada etnik Rohingya sebagai sekolah bermula Februari lalu.

"Hasil pemantauan dan laporan penduduk tempatan mendapati sekolah itu dijadikan tempat untuk kanak-kanak etnik Rohingya mengikuti pengajian Fardu Ain dan bahasa Inggeris," katanya.

Terdahulu 11 Jun lalu, portal berita menyiarkan kegusaran penduduk mengenai kewujudan sebuah sekolah untuk kanak-kanak etnik Rohingya di kampung berkenaan sejak Februari lalu.

Difahamkan, individu yang menjadikan bangunan itu sebagai sekolah mengenakan bayaran yuran kepada lebih 40 pelajar etnik Rohingya sebanyak RM150 sebulan.

Lizan berkata, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dirujuk susulan sesi pembelajaran turut dikaitkan dengan pembelajaran Fardu Ain dan pengajian agama.

"Sepasukan pegawai dan anggota pelbagai jabatan dari MBKT, termasuk penguat kuasa ke lokasi berkenaan untuk mengambil tindakan, termasuk mengeluarkan notis pada Isnin lalu.

"Hasil pemeriksaan mendapati bangunan yang dijadikan sekolah sudah dikosongkan, semua perkakas termasuk meja, kerusi, tikar getah dan pelbagai peralatan mengajar sudah dipindahkan," katanya.

Beliau tidak menolak kemungkinan meja dan kerusi serta peralatan dalam kelas itu dipindahkan pada waktu malam.

Video Terkini

Berita Berkaitan