GUA MUSANG: Peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil yang terkesan dengan isu penyitaan tanah sudah membuat laporan ke Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Tindakan ini diambil susulan penduduk berasa teraniaya apabila tanah diusahakan hampir 20 tahun dan ada yang memiliki geran disita serta didakwa sebagai kawasan hutan simpan kekal (HSK).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil, Hasan Saleh, berkata penduduk sepakat membuat aduan rasmi kepada SPRM pada Ahad lalu kerana kecewa dan terkejut apabila tanah itu terbabit dalam projek pemulihan kawasan HSK Mukim Relai.
"Aduan dihantar kepada SPRM Kelantan pada Ahad lalu itu membabitkan Projek Pemulihan Kawasan Teroka Haram Mukim Relai, Chiku, Jajahan Gua Musang yang diberikan kepada sebuah syarikat pada 21 Mei 2024.
"Aduan dibuat kerana bimbang berlaku salah guna kuasa, penyelewengan dan unsur rasuah membabitkan pemberian kontrak projek pemulihan hutan oleh Jabatan Perhutanan Kelantan.
"Berdasarkan pelan diberikan Jabatan Hutan, perluasan itu membabitkan beberapa kompartmen, malah tanah yang ada hak milik sah diambil tanpa sebarang notis atau pampasan kepada pemilik.
"Selain itu, tiada perbincangan dilakukan antara pihak berkaitan dengan penduduk kampung berhubung perkara itu," katanya ketika dihubungi, di sini.
Media sebelum ini melaporkan lebih 100 peneroka di RKT KESEDAR Chalil, kecewa apabila tanah diusahakan hampir 20 tahun lalu disita kerana dikatakan termasuk dalam kawasan HSK.
Hasan berkata, penduduk turut mempersoalkan adakah projek perluasan kawasan HSK itu mematuhi peruntukan undang-undang dan prosedur ditetapkan, selain sama ada syarikat terbabit berhak mengambil dan menjual hasil tanaman diusahakan penduduk sebelum ini.
"Sejak kontrak diberikan pada 2024 hingga kini, tiada sebarang kerja pemulihan atau penanaman semula dilakukan di tanah itu, sebaliknya pihak syarikat mengambil hasil daripada kebun diusahakan penduduk.
"Jadi, penduduk memohon SPRM menjalankan siasatan menyeluruh kerana percaya wujud unsur rasuah membabitkan pegawai Jabatan Perhutanan Kelantan dan syarikat berkenaan.
"Aduan turut disertakan senarai nama pemilik tanah yang terjejas dalam projek terbabit," katanya.
Hasan berkata, pihaknya juga sudah menghantar aduan kepada SUHAKAM pada 17 Jun lalu bagi memohon siasatan berhubung isu pertindihan kelulusan tanah di kawasan RKT KESEDAR Chalil yang didakwa menjejaskan hak penduduk.
























