KUALA LUMPUR: Insiden ribut yang dilapor merosakkan lebih 200 rumah di tujuh kawasan perumahan sekitar Anjung Bercham di Ipoh pada Jumaat lalu, tiada kaitan dengan fenomena El Nino yang sedang melanda.
Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia), Dr Mohd Hisham Mohd Anip, berkata kejadian itu sebaliknya disebabkan pembentukan garis badai (squall line), iaitu barisan awan ribut petir di utara Selat Melaka yang bergerak memasuki daratan di negeri-negeri utara Semenanjung.
Beliau berkata, ia terhasil berikutan pergerakan angin kencang yang lembap dari Laut Andaman ke Malaysia.
"Kejadian garis badai ini boleh menghasilkan hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat yang membawa kepada berlakunya fenomena kepala air dan banjir kilat," katanya kepada BH.
Berdasarkan ramalan cuaca signifikan yang dikeluarkan, Mohd Hisham berkata, terdapat beberapa kawasan dikenal pasti berisiko tinggi mengalami hujan lebat dan angin kencang.
Katanya, hasil analisis model-model ramalan cuaca terkini mendapati kawasan dikenal pasti berisiko mengalami ribut petir, hujan lebat serta angin kencang ialah negeri di utara Semenanjung membabitkan Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.
"Bagaimanapun, garis badai seumpama itu turut berpotensi berlaku di utara Sarawak dan barat Sabah berikutan pergerakan angin kencang di Laut Cina Selatan susulan kehadiran ribut taufan di timur Filipina," katanya.
Beliau sekali gus menasihati orang ramai mengamalkan penggunaan air secara berhemat, mengurangkan aktiviti luar ketika cuaca panas, serta mengelak pembakaran terbuka bagi mengurangkan risiko kebakaran dan jerebu ketika tempoh kemuncak El Nino nanti.
Selain itu, katanya, adalah penting untuk sentiasa peka terhadap perkembangan cuaca semasa serta berwaspada akan kemungkinan berlaku cuaca ekstrem seperti ribut petir, hujan lebat dan angin kencang yang masih berpotensi berlaku dari semasa ke semasa.
"Orang awam disaran sentiasa peka dengan keadaan cuaca sekeliling dan dapatkan maklumat cuaca terkini daripada METMalaysia melalui laman web rasmi: www.met.gov.my, aplikasi mudah alih myCuaca, serta platform media sosial rasmi METMalaysia di Facebook, Instagram, X dan YouTube," katanya.
Untuk sebarang nasihat atau pertanyaan berkaitan cuaca, orang ramai boleh menghubungi talian Hotline METMalaysia melalui 1-300-22-1638.











_1782115291.jpg)












