BH Online
Ringkasan Berita

PRN Negeri Sembilan: Rafie, bekas ADUN PKR bakal calon PAS di Ampangan?

SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang menyertai PAS minggu lalu, malam tadi membuat kemunculan pertama di atas pentas ceramah parti baharunya.
PRN Negeri Sembilan: Rafie, bekas ADUN PKR bakal calon PAS di Ampangan?

Bekas ADUN PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang menyertai PAS minggu lalu membuat kemunculan pertama di atas pentas ceramah parti baharunya bagi DUN Ampangan, malam tadi. - Foto FB PAS Negeri Sembilan

SEREMBAN: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang menyertai PAS minggu lalu, malam tadi membuat kemunculan pertama di atas pentas ceramah parti baharunya.

Kemunculan bekas EXCO Kerajaan Negeri Sembilan pada ceramah PAS bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan, di sini mencetuskan spekulasi beliau akan bertanding di kerusi terbabit pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Mohamad Rafie pernah berkhidmat sebagai wakil rakyat DUN berkenaan selama satu penggal bermula 2018, tetapi gagal mempertahankan kerusi terbabit pada PRN 2023 apabila bertanding sebagai calon Bebas selepas digugurkan PKR.

Beliau tewas dalam pertembungan tiga penjuru selepas memperoleh 3,079 undi berbanding calon Pakatan Harapan(PH), Datuk Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang mendapat 6,054 undi.

Terdahulu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) 2018, Mohamad Rafie yang bertanding atas tiket PH menang kerusi DUN Ampangan dengan majoriti 1,360 undi apabila memperoleh 6,801 undi bagi menewaskan calon Barisan Nasional (BN) dan Pas.

Ketika ditemui pemberita, beliau menjelaskan, terpulang kepada pimpinan parti mengenai siapa mahu dicalonkan di DUN Ampangan.

"Saya masih kekal sebagai ahli biasa, terpulang kepada pimpinan (PAS) sama ada saya akan bertanding atau tidak," katanya juga enggan mengulas sama ada beliau berharap bertanding di DUN Ampangan sekiranya diberi kepercayaan oleh PAS.

Mohamad Rafie mengakui ada dalam kalangan rakan-rakan yang bertanya mengenai perkara itu.

"Saya tak boleh mendahului keputusan yang akan dibuat oleh pimpinan dan tidak manis untuk saya menjawab kerana saya ahli baharu sebuah parti yang punyai pengalaman," ujar beliau.

Menurutnya, biarlah parti membuat keputusan berhubung pemilihan calon pilihan raya dan beliau akur apa juga arahan pucuk pimpinan.

Video Terkini

Berita Berkaitan