BH Online
Ringkasan Berita

Lebih 100 penduduk kecewa, tanah diusahakan sejak hampir 20 tahun dan bergeran didakwa kawasan hutan simpan

GUA MUSANG: Lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, di sini, kecewa apabila tanah yang diusahakan sejak hampir 20 tahun lalu di sini disita kerana termasuk dalam kawasan hutan simpan.
Lebih 100 penduduk kecewa, tanah diusahakan sejak hampir 20 tahun dan bergeran didakwa kawasan hutan simpan

Penduduk menunjukkan geran tanah yang mereka perolehi di RKT KESEDAR Chalil. - Foto NSTP/Paya Linda Yahya.

GUA MUSANG: Lebih 100 peneroka di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Chalil, di sini, kecewa apabila tanah yang diusahakan sejak hampir 20 tahun lalu di sini disita kerana termasuk dalam kawasan hutan simpan.

Penduduk mendakwa mereka difahamkan tanah terbabit adalah milik kerajaan dan boleh diusahakan penduduk serta ada yang sudah mempunyai geran hak milik.

Selain penduduk, terdapat dua syarikat membuka ladang di kawasan itu dan sudah beberapa kali menuai hasil.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Mukim Chalil, Hasan Saleh, berkata mereka amat kecewa apabila tanah terbabit disita Pejabat Perhutanan, Isnin lalu.

Katanya, tanah terbabit mula diusahakan penduduk sejak 2008 dengan menanam sawit dan getah yang menjadi sumber pendapatan penduduk di kawasan itu.

"Kami dimaklumkan kawasan terbabit disita kerana masih dalam kawasan hutan simpan sedangkan pada 2008, hasil rujukan di Pejabat Tanah Jajahan Gua Musang (PTJGM) ia adalah tanah kerajaan dan boleh dibuat geran dengan membayar premium tanah.

"Setakat ini, seramai 122 penduduk dan dua syarikat yang terkesan dengan masalah ini dan ada di antara sudah bergeran.

"Apa yang kami faham, proses mendapatkan geran bukan mudah dan memerlukan kelulusan pelbagai pihak, jadi tidak mungkin berlaku isu geran tanah dikeluarkan di kawasan hutan simpan.

"Kami penduduk di sini mengharapkan satu siasatan yang telus berkenan isu ini kerana membabitkan hasil titik peluh penduduk yang mengusahakan tanah sejak hampir 20 tahun," katanya ketika ditemui di RKT KESEDAR Chalil, di sini.

Bagi Hanipah Tahir, 65, berkata dia terkejut apabila kebun getah yang diusahakan sejak 2008 di sita Isnin lalu tanpa dimaklumkan terlebih dahulu.

Katanya, tanah seluas kira-kira empat hektar yang sudah bergeran sejak lebih 10 tahun kini menjadi sumber pendapatan keluarganya.

"Saya musykil apabila tanah yang sudah bergeran tiba-tiba dikatakan kawasan hutan simpan dan dimaklumkan akan akan ditarik balik kerana berada di kawasan hutan simpan.

"Isunya sekarang jika benar ia adalah kawasan hutan simpan, kenapa sebelum ini geran diluluskan dan sudah ramai penduduk yang membayar premium tanah," katanya.

Pertemuan antara penduduk itu turut dihadiri bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Amran Arifin, yang hadir sebagai tanda sokongan kepada penduduk.

Video Terkini

Berita Berkaitan