BH Online
Ringkasan Berita

KOPMEDIA sasar pendapatan RM10 juta sebelum 2030

PORT DICKSON: Koperasi Media Prima Berhad (KOPMEDIA) menyasarkan pendapatan RM10 juta dalam tempoh empat tahun akan datang bagi merealisasikan impian menjadi antara 50 koperasi aktif di negara ini.
KOPMEDIA sasar pendapatan RM10 juta sebelum 2030

Penolong Pengarah Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Mohamad Farhan Mohamad Sabri (lapan kiri), Pengerusi KOPMEDIA, Mohd Fadzil Abdul Ghani (tujuh kiri) dan Setiausaha KOPMEDIA, Abdul Rahim Llin (sembilan kiri) ketika merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) KOPMEDIA KE-58 di Sri Pena Training Centre. - Foto NSTP/Ahmad Ukasyah

PORT DICKSON: Koperasi Media Prima Berhad (KOPMEDIA) menyasarkan pendapatan RM10 juta dalam tempoh empat tahun akan datang bagi merealisasikan impian menjadi antara 50 koperasi aktif di negara ini.

Pengerusinya, Mohd Fadzil Abdul Ghani, berkata pelbagai aktiviti seperti peruncitan menunjukkan tanda positif termasuk sambutan baik dalam kalangan kakitangan Media Prima yang sekali gus membantu perkembangan KOPMEDIA.

"Antara aktiviti sampingan yang kita buat ialah dobi layan diri di beberapa pusat pengajian tinggi di Melaka serta Smart Kampus di beberapa tempat.

"Bidang baru yang kita buat seperti Latihan Bina Insan, Kursus Mobile Journalist dan dalam masa yang sama menjaga kebajikan ahli serta meningkatkan sosio ekonomi ahli termasuk sumbangan umrah kepada anggota kita," katanya dalam ucapan pada Mesyuarat Agung Perwakilan Tahunan (MAPT) kali ke-58 di Sri Pena Training Centre, di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Penolong Pengarah Kawal Selia Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Wilayah Persekutuan, Mohammad Farhan Mohamad Sabri.

Mohd Fadzil berkata sepanjang tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2025, KOPMEDIA terus menunjukkan prestasi positif melalui pengukuhan aktiviti perniagaan, penerokaan peluang baharu dan pelaksanaan pelbagai program yang memberi nilai tambah kepada anggota.

"Kejayaan sebuah koperasi bukan hanya diukur melalui prestasi kewangan, tetapi juga melalui keupayaannya meningkatkan kesejahteraan anggota.

"KOPMEDIA akan terus mengamalkan takbir urus yang telus, memperkukuhkan perniagaan dan meneroka peluang baharu.

"Untuk tahun-tahun mendatang khususnya tahun ini, kita ada beberapa fokus strategik antaranya memperluaskan portfolio perniagaan, memperkukuhkan skim pembiayaan anggota, memperluaskan Program Jualan Rahmah, memanfaatkan pendigitalan dan mempertingkatkan program kebajikan dan pembangunan anggota," katanya.

Sementara itu, Mohammad Farhan berkata, beliau percaya KOPMEDIA akan menjadi sebuah koperasi yang berjaya satu hari nanti berdasarkan pencapaian dan pengalaman.

"KOPMEDIA menunjukkan tadbir urus yang cekap seperti sentiasa mematuhi akta koperasi serta usaha bersungguh-sungguh meningkatkan ekonomi termasuk ahli yang komited membantu.

"Kami di peringkat kawal selia di peringkat pusat sedia memantau dan membantu KOPMEDIA dan tidak mustahil akan berada sebaris dengan koperasi ternama di negara kita," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan