BH Online
Ringkasan Berita

Warga emas reda hilang anak, cucu serentak

PEKAN: Warga emas reda dengan ketentuan Allah apabila anak serta cucu meninggal serentak akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan - Segamat, dekat Chini, semalam.
Warga emas reda hilang anak, cucu serentak

Mohd Atan Daud, (baju biru gelap) turut bersolat jenazah di perkarangan Unit Forensik, Hospital Pekan, sebelum jasad anak dan cucunya dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Rompin. - Foto FAZLI AHMAD

PEKAN: Warga emas reda dengan ketentuan Allah apabila anak serta cucu meninggal serentak akibat kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 67, Jalan Kuantan - Segamat, dekat Chini, semalam.

Mohd Atan Daud, 67, berkata ketika kejadian anaknya, Dr Mohd Zekry Zuhairy Mohd Atan, 33, bertugas sebagai Ketua Unit Forensik, Hospital Segamat, Johor, isteri dan cucunya dalam perjalanan dari Segamat ke Kuantan.

Beliau berkata, turut berada dalam kereta dipandu Dr Mohd Zekry Zuhairy ialah bapa dan ibu mentuanya, Ibrahim Mat Taib, 80, dan Rose Abdullah,72.

"Mereka dalam perjalanan ke Kuantan untuk melawat kakak ipar yang bertugas sebagai pegawai perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan.

"Kira-kira jam 7 malam, saya mendapat maklumat anak saya terbabit dengan kemalangan dan dihantar ke Hopital Pekan.

"Sebaik mendapat berita itu, saya, isteri Rosnah wahid, 56, dan seorang anak bergegas ke Hospital Pekan.

"Ketika dalam perjalanan anak saya menghubungi hospital berkenaan dan kami terkejut kerana dimaklumkan anak dan cucu, Dhea Sofia, 2, meninggal dunia," katanya ketika ditemui di sini.

Mohd Atan berkata, beliau tidak pasti punca sebenar kemalangan itu tetapi dimaklumkan kejadian berlaku kerana sebuah pikap terbabas lalu merempuh kereta dipandu anaknya dan sebuah MPV dari arah bertentangan.

Beliau menyerahkan kepada polis menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya jika kemalangan menyebabkan anak dan cucunya itu terbunuh kerana kecuaian pemandu lain.

Katanya, berdasarkan laporan bedah siasat terhadap jasadnya anaknya mangsa meninggal dunia kerana kecederaan serius di kepala.

"Cucu saya juga meninggal dunia kerana parah di kepala selain cedera di bahagian paru-paru dan perut.

"Menantu saya, Dr Hana Ibrahim, 33, kini dalam keadaan kritikal sedang dirawat di HTAA kerana parah di muka, sebahagian gigi patah dan cedera di perut.

"Bapa dan ibu mentua anak saya turut dirawat di hospital sama,' katanya.

Mohd Atan berkata, kali terakhir beliau bertemu anak dan cucunya Ahad lalu, ketika mereka datang ke rumah.

Katanya, arwah anaknya itu memaklumkan akan membawa beliau ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Selasa ini, untuk rawatan susulan kerana mengidap kanser hati.

"Sejak saya disahkan mengidap kanser hati sejak lima tahun lalu, Allahyarham yang mengatur dan membawa saya ke hospital untuk mendapat sesi rawatan ditetapkan.

Jenazah dua beranak terbabit dituntut keluarga, kira-kira jam 11 pagi dan dibawa pulang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Muadzam Shah, Rompin.

Video Terkini

Berita Berkaitan