BH Online
Ringkasan Berita

Musang King kena lelong RM5 hingga RM15, gred A hanya RM20 sekilogram

GUA MUSANG: Lambakan durian jenis Musang King di daerah ini menyebabkan buah kayangan itu mengalami kejatuhan harga mendadak.
Musang King kena lelong RM5 hingga RM15, gred A hanya RM20 sekilogram

Kweh Tieok Eng (baju merah) di gerai menjual durian di Bandar Utama Gua Musang, di sini. - NSTP / Paya Linda Yahya

GUA MUSANG: Lambakan durian jenis Musang King di daerah ini menyebabkan buah kayangan itu mengalami kejatuhan harga mendadak.

Berdasarkan tinjauan Musang King gred A dijual serendah RM20 sekilogram, jauh lebih rendah berbanding RM40 hingga RM90 sekilogram sebelum ini.

Peniaga durian, Kweh Tieok Eng, 66, berkata kejatuhan harga buah kayangan itu berlaku susulan lambakan buah daripada pekebun-pekebun sekitar daerah ini.

Untuk tahun ini sahaja, katanya sehingga 10 pekebun memintanya untuk menjual hasil Musang King masing-masing berbanding sebelum ini hanya dua atau tiga pekebun.

"Harga setiap buah berbeza bergantung gred dan saiz. Saya juga ada buat lelong Musang King dengan harga serendah RM5 hingga RM15, manakala buah baru luruh dijual RM20 sekilogram bagi gred A.

"Meskipun ada lambakan, permintaan Musang King juga tinggi apabila saya boleh jual antara 100 hingga 200 kilogram (kg) sehari," katanya yang sudah 10 tahun berniaga.

Bagi, Mohd Zuhairi Hashim, 34, permintaan terhadap pelbagai jenis durian termasuk Musang King, Duri Hitam, IOI dan kampung turut meningkat seiring kejatuhan harga durian.

Katanya, jualan duriannya pelbagai jenis mencecah sehingga 4,500kg setiap hari.

"Penurunan harga durian pada musim ini turut menjadi faktor utama peningkatan jualan dan menarik lebih ramai pelanggan untuk membeli dalam kuantiti yang lebih banyak.

"Bekalan durian yang banyak tahun ini membolehkan orang ramai menikmati durian premium atau 'durian kayangan' pada harga mampu milik.

"Lambakan durian membolehkan pelanggan membeli durian kayangan seperti Musang King, Duri Hitam dan IOI. Harga durian Musang King di kedai saya dijual pada harga RM8 sehingga RM19 sekilogram, manakala durian kampung pula RM3.50 sekilogram," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan