KUALA LUMPUR: Penarikan balik pertuduhan dalam kes rasuah hanya dilakukan apabila perkembangan baharu menyebabkan pihak pendakwaan tidak lagi mampu memenuhi standard pembuktian jenayah yang diperlukan di mahkamah.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata walaupun pihak pendakwaan memastikan 'wujud sekurang-kurangnya kes prima facie' sebelum sesuatu pertuduhan difailkan, perbicaraan yang berlangsung sukar dijangka.
Beliau berkata, kegiatan rasuah sering membabitkan pelbagai pihak yang mempunyai kepentingan yang mendalam serta pembabitan tersembunyi dalam perbuatan itu.
"Elemen perkembangan baharu seperti kewujudan bukti yang tidak diketahui sebelum ini, perubahan keterangan saksi atau kejadian tidak dijangka boleh berlaku sepanjang perbicaraan berlangsung.
"Apabila perkembangan itu mengubah landskap pembuktian dengan begitu ketara sehingga pihak pendakwaan tidak lagi mampu memenuhi standard pembuktian jenayah yang tinggi secara munasabah, maka pendakwaan perlu bertindak secara bertanggungjawab, objektif dan adil mengikut undang-undang dengan memohon supaya pertuduhan ditarik balik," katanya kepada New Straits Times.
Dalam pada itu, Mohd Dusuki menegaskan keputusan untuk menarik balik sesuatu pertuduhan juga tidak dibuat secara bersendirian, sebaliknya melalui proses penilaian yang ketat dan berlapis.
Beliau berkata, proses berkenaan membabitkan kerjasama rapat antara bahagian penyiasatan dan pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan bahagian khusus dalam Jabatan Peguam Negara (AGC) bagi menilai sama ada pertuduhan masih boleh diteruskan dari sudut perundangan.
"Pasukan penyiasat perlu terlebih dahulu meneliti dan menangani isu yang dibangkitkan pihak pembelaan sebelum sebarang syor dikemukakan kepada pihak pendakwaan," katanya.
Katanya, unit berkaitan dalam AGC kemudian akan meneliti kertas siasatan sebelum Timbalan Pendakwa Raya (TPR) yang mengendalikan kes serta pegawai penyiasat memberikan taklimat kepada pihak AGC sebelum keputusan dibuat.
"Keputusan itu akan dimaklumkan kepada SPRM dan mana-mana pihak berkepentingan yang tidak berpuas hati boleh mengemukakan aduan kepada AGC untuk semakan semula," katanya.
Isu penyelesaian menerusi kompaun
Mengulas cadangan supaya garis panduan berkaitan kompaun dan penarikan pertuduhan diperkukuhkan, Mohd Dusuki berkata, tiada keperluan mendesak untuk berbuat demikian ketika ini kerana kerangka undang-undang sedia ada berfungsi dengan baik dan berkesan.
Bagaimanapun, beliau berkata AGC akan mempertimbangkan semakan pada masa depan sekiranya terdapat keperluan dengan perundingan rapat dengan institusi berkaitan termasuk SPRM bagi memastikan integriti sistem keadilan jenayah terus terpelihara.
























