BH Online
Ringkasan Berita

Pengasingan peranan Peguam Negara-Pendakwa Raya bakal perkukuh keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara - Mohd Dusuki

SINTOK: Pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya yang sedang diusahakan kerajaan, diyakini bakal memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di negara ini.
Pengasingan peranan Peguam Negara-Pendakwa Raya bakal perkukuh keyakinan awam terhadap sistem keadilan negara - Mohd Dusuki

Mohd Dusuki ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk ‘Strengthening the rule of law through institutional reform: Malaysia’s roadmap for a modern justice system’ di UUM, hari ini.

SINTOK: Pengasingan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya yang sedang diusahakan kerajaan, diyakini bakal memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan di negara ini.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) memainkan peranan utama dalam melaksanakan pembaharuan undang-undang di Malaysia, termasuk usaha mengasingkan peranan Peguam Negara dengan Pendakwa Raya.

Beliau menjelaskan bahawa langkah itu bertujuan mewujudkan fungsi Pendakwa Raya yang bebas sepenuhnya, berasingan daripada peranan Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada kerajaan.

"Ia akan menandakan satu peristiwa penting dalam memperkukuhkan kebebasan pendakwaan dan keyakinan orang ramai terhadap sistem keadilan.

"Ia juga adalah pembaharuan institusi utama yang mengukuhkan pengasingan kuasa, dan memperkukuh keyakinan bahawa keputusan pendakwaan dilakukan secara bebas," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk 'Strengthening the rule of law through institutional reform: Malaysia's roadmap for a modern justice system' di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, hari ini.

Mohd Dusuki memaklumkan bahawa selepas bacaan pertama Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026 dibuat pada 23 Februari lalu, RUU itu kini pada peringkat penelitian menyeluruh oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

Beliau berkata, usaha itu sekali gus mencerminkan komitmen teguh terhadap akauntabiliti demokrasi dan tadbir urus yang baik.

"Pengukuhan berterusan fungsi pendakwaan kekal menjadi antara teras utama agenda reformasi institusi AGC, khususnya dalam memastikan sistem keadilan negara sentiasa responsif terhadap cabaran jenayah moden.

"Dalam era jenayah yang semakin kompleks, pendakwaan kini perlu mengendalikan kes membabitkan jenayah siber, forensik digital, mata wang kripto, penipuan kewangan dan penipuan yang dipacu kecerdasan buatan (AI), jenayah terancang serta kesalahan rentas sempadan," katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, AGC mengambil langkah proaktif membina perkhidmatan pendakwaan yang lebih khusus menerusi latihan berterusan, inisiatif peningkatan kapasiti bersasar, serta pembangunan kepakaran dalam bidang tertentu.

Katanya, AGC juga berada di barisan hadapan dalam pentadbiran keadilan berkait jenayah, termasuk dalam mengendalikan perbicaraan dan rayuan berkepentingan awam, kes berprofil tinggi, kompleks serta sensitif.

"Pada 2025, AGC berjaya menyelesaikan sebanyak 3,055 kes rayuan jenayah. Bagi suku pertama tahun 2026 pula, AGC menyelesaikan 965 kes rayuan jenayah.

"Angka ini bukan sekadar statistik, tetapi mencerminkan keupayaan, disiplin dan dedikasi berterusan pegawai AGC.

"Mereka menunjukkan bahawa AGC terus menjadi pemacu utama dalam penyelesaian kes rayuan di mahkamah atasan secara tepat pada masanya," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan