PARIT BUNTAR: Memang unik. Sebuah premis makanan berhampiran Stesen Bas di sini mencuri perhatian pelanggan apabila mereka diberikan resit bertemakan watak kartun yang dilukis sendiri oleh pemiliknya pada setiap pembelian.
Pemilik premis Mojd Asri Hashim, 54, berkata dia bersama anak telah mengambil alih perniagaan itu dari abangnya sejak empat tahun lalu.
Menurutnya idea tersebut tercetus daripada minat mendalamnya terhadap dunia kartun dan komik sejak zaman persekolahan.
"Saya bukanlah seorang pelukis profesional, namun sering mengikuti perkembangan majalah kartun tempatan seperti Ujang dan Gila-Gila.
"Sumber inspirasi adalah dari majalah itu dan setiap resit yang diberikan kepada pelanggan akan mempunyai lukisan kartun ringkas yang dilukis secara spontan.
"Jika ramai pelanggan mungkin saya tak sempat melukis namun apabila ada pelanggan yang datang bersama anak kecil, barulah saya buat bagi menceriakan mereka," katanya ditemui media di premisnya.
Kebanyakan lukisan yang dibuat berdasarkan situasi yang berlaku dalam kedai atau permintaan pelanggan sendiri.
"Kebiasaannya setiap lukisan itu dapat disiapkan dalam masa satu hingga dua minit. Keunikan ini menarik perhatian pelanggan yang datang dari jauh dan dekat untuk menyimpannya sebagai koleksi," katanya.
Menurutnya lagi, lebih mengharukan ada pelanggan yang datang semula dan menunjukkan mereka masih menyimpan resit yang diberikan.


















