BERMULA dengan sebiji kek coklat ganache yang dihasilkan khas untuk isteri, siapa sangka ia menjadi titik tolak kepada penubuhan Manisku Dessert, jenama pencuci mulut yang kini semakin dikenali ramai.
Pengasas Manisku Dessert, Nafees Nuha Azman, 27, berkata selepas mendirikan rumah tangga beliau melakukan kerja sambilan sebagai pemandu e-hailing bagi menambah pendapatan selain tugas hakiki sebagai Eksekutif Kesihatan, Keselamatan, dan Alam Sekitar (HSE) di sebuah syarikat swasta untuk menampung keperluan hidup bersama isteri.
Bagaimanapun, rutin itu tidak memberikan kepuasan kerana terpaksa berjauhan dengan isteri hampir setiap hari.
"Saya rasa tidak gembira menjadi pemandu e-hailing kerana banyak masa dihabiskan di luar rumah. Pada suatu hari, saya cuba buat kek coklat ganache untuk isteri dan dia sangat sukakannya.
"Daripada situ kami mendapat idea untuk hasilkan puding pisang itu dan menjualnya di tapak jualan but kereta," katanya kepada BH.
Menurutnya, idea memperkenalkan puding pisang pula datang daripada isterinya yang melihat potensi pencuci mulut itu ketika ia masih belum menjadi fenomena di Malaysia.

Sumber pendapatan utama keluarga
Kata Nafees, cadangan itu menjadi permulaan kepada penubuhan Manisku Dessert yang kini menjadi sumber pendapatan utama mereka sekeluarga.
Pada peringkat awal, perjalanan perniagaan mereka bukan mudah apabila mengambil masa antara dua hingga tiga hari untuk menghabiskan jualan satu dulang puding pisang.
"Masa mula-mula dulu, kami jual tidak sampai lima bekas dalam masa sehari. Kalau hari yang baik, dapatlah sekitar 13 bekas sahaja.
"Itu pun sebab isteri saya diam-diam buat iklan berbayar untuk tingkatkan capaian promosi di media sosial," katanya.
Nafees berkata, setiap kali menghasilkan puding baharu, mereka sentiasa menambah baik resipi dan kualiti produk sehingga akhirnya puding pisang keluaran Manisku Dessert mula mendapat perhatian pelanggan.
Katanya, sambutan semakin menggalakkan apabila pelanggan mula beratur untuk membeli produk mereka, selain dibantu liputan seorang pencipta kandungan makanan yang menghasilkan ulasan mengenai perniagaan itu.
"Selepas video itu tular, semakin ramai pelanggan datang dan perniagaan kami terus berkembang. Ada masa, pelanggan yang datang lambat tidak sempat untuk membeli kerana kehabisan stok," katanya.
Menurut Nafees, perniagaan itu mampu mencatat pulangan modal harian sekitar 30 hingga 40 peratus dengan kapasiti pengeluaran yang meningkat jauh lebih besar berbanding ketika mula beroperasi.
"Kami perlu menyediakan sekurang-kurangnya 130 kilogram (kg) puding pisang setiap kali berniaga. Stok akan disiapkan sehari lebih awal dan pada hari jualan pekerja akan melakukan proses pembungkusan sebelum kami mula berniaga pada waktu malam," katanya.
Beliau berkata, ketika ini operasi pengeluaran dibantu tiga pekerja tetap selain sokongan ahli keluarga termasuk ibu dan ibu mentuanya.
Menurut Nafees, isterinya yang sebelum ini bekerja makan gaji mengambil keputusan berhenti kerja tahun lalu selepas perniagaan semakin berkembang, sebelum beliau sendiri melepaskan jawatan sebagai Eksekutif HSE pada Januari lalu bagi memberi tumpuan sepenuhnya kepada Manisku Dessert.
"Isteri saya sebenarnya individu paling penting di sebalik kejayaan ini. Dia yang banyak menguruskan kandungan dan pemasaran, malah boleh dikatakan dalang utama kepada strategi yang membawa Manisku Dessert ke tahap sekarang.
"Daripada hanya sekadar puding pisang, kini telah berkembang kepada lima perisa baharu iaitu strawberi, coklat 'Bueno', kacang pistasio, 'Butterscotch' dan coklat 'Callebaut'," katanya.
























