KUALA LUMPUR: Perpaduan tidak boleh dibina melalui satu program semata-mata, tetapi memerlukan usaha berterusan, konsisten dan menyeluruh.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang, berkata perpaduan bukan bersifat one-off, sebaliknya komitmen jangka panjang yang perlu dipupuk, diperkukuh dan diwariskan dari satu generasi ke generasi yang lain.
Justeru, beliau berkata, peranan utama Kementerian Perpaduan Negara adalah untuk mewujudkan lebih banyak ruang dan platform interaksi antara rakyat.
"Apabila rakyat berpeluang bertemu, bergaul, memahami serta menghormati perbezaan masing-masing, jurang dapat dirapatkan, persefahaman dapat diperkukuh dan rasa kebersamaan sebagai rakyat Malaysia dapat dibina.
"Oleh demikian, Kementerian Perpaduan Negara akan meneruskan penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan pada tahun hadapan sebagai platform nasional yang menghimpunkan rakyat daripada pelbagai latar belakang untuk berinteraksi, mengenali dan menghargai antara satu sama lain.
"Ia susulan sambutan baik penganjuran Sambutan Minggu Perpaduan 2026 Peringkat Kebangsaan yang mencatatkan kehadiran seramai 284,448 pengunjung, iaitu jumlah tertinggi sejak program ini diperkenalkan pada 2023," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Beliau berkata, pencapaian itu membuktikan bahawa rakyat Malaysia semakin menghargai kepelbagaian budaya, warisan dan identiti yang menjadi asas kekuatan negara.
Berdasarkan maklum balas pengunjung, katanya, tiga tarikan utama yang mendapat sambutan luar biasa ialah Perkampungan Etnik, Rumah Etnik dan Pameran Negara Bangsa & Raja Kita.
"Perkampungan Etnik yang menampilkan kehidupan harian masyarakat Melayu, Cina, India, Siam dan Baba Nyonya memberi peluang kepada rakyat memahami budaya dan tradisi pelbagai kaum dengan lebih dekat. Rumah Etnik pula memperkenalkan keunikan masyarakat seperti Bajau, Melanau, Banjar, Kedayan, Portugis dan lain-lain melalui makanan tradisional, adat perkahwinan, pakaian, permainan serta alat muzik.
"Pameran Negara Bangsa & Raja Kita berjaya menarik minat ramai anak muda melalui pengisian berkaitan sejarah kenegaraan, institusi Raja-Raja Melayu dan pembinaan negara bangsa Malaysia," katanya.
Beliau juga berkata, pembinaan Negara Bangsa antara matlamat utama Kerajaan MADANI, justeru menjadi tanggungjawab Kementerian Perpaduan Negara untuk memastikan aspirasi tersebut terus direalisasikan melalui dasar, program dan inisiatif yang memperkukuh perpaduan nasional.
"Oleh itu, usaha memperkukuh perpaduan memerlukan komitmen semua pihak termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan seluruh rakyat Malaysia. Hanya melalui komitmen bersama, kita mampu membina sebuah Malaysia yang lebih bersatu, harmoni dan sejahtera untuk generasi akan datang," katanya.
























