KUALA TERENGGANU: Penceramah agama terkenal, Ustaz Azhar Idrus atau lebih dikenali UAI dianugerahkan Tokoh Dakwah pada Sambutan Maal Hijrah peringkat Terengganu di sini, hari ini.
Anugerah Tokoh Orang Kurang Upaya (OKU) pula diberikan kepada Muhammad Abdullah atau turut dikenali sebagai Ustaz Mad Kecik (UMK).
Kedua-dua individu bekenaan menerima pengiktirafan itu atas sumbangan, peranan dan komitmen mereka dalam menyebarkan syiar Islam serta mendekati masyarakat melalui pelbagai platform dakwah, khususnya di negeri ini.

Anugerah disampaikan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Wisma Darul Iman.
Mengulas anugerah itu, Azhar, 62, yang ditemui berkata usahanya dalam menyampaikan ilmu agama kepada masyarakat selama ini banyak dibantu oleh sokongan pihak berkuasa agama dan kerajaan negeri.
Katanya, penghargaan kerajaan negeri itu wajar dikongsi bersama masyarakat yang sentiasa hadir ke majlis ilmu dan sanggup meluangkan masa untuk mendalami ajaran Islam.
"Jemaah yang hadir ke kuliah sanggup meninggalkan urusan lain untuk menghadiri majlis ilmu. Mereka juga selayaknya menerima penghargaan ini," katanya selepas menerima anugerah berkenaan.
Sementara itu, Muhammad, 33, melahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diberikan kerajaan negeri kepada golongan OKU.
Beliau berkata, anugerah berkenaan membuktikan kekurangan fizikal bukan penghalang untuk menyumbang kepada masyarakat dan agama.
"Saya sangat berterima kasih kepada ibu, Nooraini Mamat, yang menjaga, mendidik, memberi saya didikan agama. Beliau yang menjadi tulang belakang dan kekuatan atas apa yang saya miliki hari ini," katanya.
Muhammad berkata pengiktirafan itu diharap dapat menjadi suntikan semangat kepada golongan OKU lain untuk terus berjaya serta aktif dalam pelbagai bidang.
Ketinggiannya yang hanya kira-kira 100 sentimeter jelas tidak menghalang beliau untuk membabitkan diri dalam pelbagai program dakwah dan kemanusiaan termasuk misi Global Sumud Flotilla tahun lalu.
Pada majlis berkenaan juga, guru al-Quran,Jusoh @ Muda Ismail yang kini berusia 95 tahun dipilih sebagai Tokoh Maal Hijarah negeri.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri dalam ucapannya berkata semangat hijrah yang dibawa Rasulullah SAW perlu terus dijadikan pedoman dalam membentuk masyarakat berilmu, berakhlak dan berdaya saing.
Katanya, hijrah bukan sekadar perpindahan fizikal, sebaliknya satu proses perubahan yang membentuk tamadun, memperkukuhkan masyarakat serta membina masa depan yang lebih baik.
"Hijrah Rasulullah SAW menjadi titik perubahan besar dalam sejarah apabila berjaya menyatukan masyarakat yang berpecah-belah, membina sebuah negara yang berdaulat dan melahirkan ummah yang kuat berteraskan ilmu, keadilan serta akhlak," katanyanya.
























