BH Online
Ringkasan Berita

Lelaki ditahan curi 43 meter kabel KTMB

TAIPING: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memotong kira-kira 43 meter kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kilometer (KM) 95.75, sektor Padang Rengas-Kamunting, di sini, awal pagi tadi.
Lelaki ditahan curi 43 meter kabel KTMB

Anggota polis bantuan KTMB menahan lelaki yang mencuri kabel milik syarikat itu di Taiping - Foto Ihsan KTMB

TAIPING: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai memotong kira-kira 43 meter kabel milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) di Kilometer (KM) 95.75, sektor Padang Rengas-Kamunting, di sini, awal pagi tadi.

KTMB dalam kenyataan memaklumkan, suspek ditahan anggota Polis Bantuan Cawangan Taiping ketika menjalankan Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) di kawasan yang kerap menjadi sasaran kecurian kabel.

"Hasil pemeriksaan di lokasi kejadian membawa kepada penemuan dan rampasan kabel yang dipercayai milik Jabatan Semboyan KTMB.

"Siasatan awal mendapati insiden ini telah menyebabkan gangguan kepada sistem semboyan serta operasi landasan di kawasan terbabit.

"Pemeriksaan lanjut oleh Jabatan Semboyan KTMB mengesahkan kira-kira 43 meter kabel telah dipotong," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut KTMB, kecurian kabel itu bukan sahaja menyebabkan kerugian, malah boleh menjejaskan keselamatan operasi tren dan perkhidmatan rel kepada pengguna.

Katanya, suspek diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Dalam pada itu, KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme dan kecurian terhadap aset serta infrastruktur rel negara.

"Sehubungan itu, rondaan keselamatan akan terus dipertingkatkan melalui kerjasama bersepadu antara Polis Bantuan KTMB dan pihak berkuasa bagi membanteras aktiviti jenayah yang boleh mengancam keselamatan operasi tren serta orang awam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan di kawasan landasan diminta menyalurkan maklumat kepada Pusat Pengumpulan & Penyaluran Maklumat Polis Bantuan KTMB di talian 03-2263 1194 (24 jam) atau menghubungi pihak PDRM untuk tindakan segera," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan