BH Online
Ringkasan Berita

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia.
Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Nallini Pathmanathan dilantik Pengerusi Majlis Media Malaysia

Tan Sri Nallini Pathmanathan

KUALA LUMPUR: Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Nallini Pathmanathan dilantik sebagai Pengerusi Majlis Media Malaysia.

Majlis Media Malaysia (MMM) dalam kenyataan berkata, pelantikan itu dipersetujui sebulat suara oleh Ahli-Ahli Lembaga Majlis Media Malaysia dalam mesyuarat yang diadakan pada 26 Mei lalu.

Katanya, MMM menyambut baik pelantikan itu sebagai satu pencapaian penting dalam memperkukuh peranannya sebagai badan kawal selia kendiri yang bebas, berwibawa dan berteraskan kepentingan awam bagi industri media.

"Di bawah kepimpinan Nallini, Majlis Media Malaysia akan memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh institusi, melaksanakan Kod Tatakelakuan, membangunkan sistem aduan yang adil dan diyakini, serta meningkatkan pemahaman masyarakat mengenai peranan media dalam sebuah masyarakat demokratik.

"Majlis juga akan memberi perhatian khusus kepada agenda reformasi undang-undang yang membabitkan media, wartawan dan hak orang awam untuk memperoleh maklumat yang tepat.

"Ini termasuk usaha menggalakkan persekitaran perundangan yang lebih jelas dan seimbang, selaras dengan prinsip kebebasan bersuara, hak terhadap maklumat, etika kewartawanan dan kepentingan awam," katanya.

Kenyataan itu berkata, pelantikan itu dibuat pada waktu yang amat penting ketika industri media berdepan pelbagai cabaran besar, termasuk tekanan ekonomi, perubahan teknologi, kecerdasan buatan (AI), maklumat palsu dan mengelirukan, ancaman terhadap wartawan, serta keperluan untuk membina semula kepercayaan awam terhadap media.

"Majlis Media Malaysia yakin bahawa Nallini akan membantu memacu Majlis ke arah fasa yang lebih matang, bebas dan berwibawa, berteraskan tiga asas utama iaitu standard, etika dan kebebasan," katanya.

Nallini bersara dari Mahkamah Persekutuan Malaysia pada Februari 2026 selepas berkhidmat selama lapan belas tahun yang cemerlang dalam badan kehakiman.

Sepanjang tempoh itu beliau telah berkhidmat di ketiga-tiga peringkat mahkamah atasan dan menulis kira-kira 325 penghakiman yang dilaporkan, termasuk keputusan penting dalam bidang undang-undang perlembagaan dan komersial.

Sebagai wanita pertama berketurunan Asia Selatan yang dilantik ke badan kehakiman atasan Malaysia, beliau pernah beramal sebagai peguam di Tetuan Skrine selama lebih dua dekad sebelum menyertai badan kehakiman.

Kini, beliau berkhidmat sebagai penimbang tara dan pengantara.

Beliau juga menjadi Naib Pengerusi Forum Hakim-Hakim Persatuan Peguam Antarabangsa (International Bar Association), ahli Kumpulan Pemandu Forum Antarabangsa Tetap Mahkamah Komersial serta hakim di Mahkamah Antarabangsa Qatar dan Pusat Penyelesaian Pertikaian Qatar.

Komitmen beliau sepanjang kerjaya terhadap kebebasan badan kehakiman, kedaulatan undang-undang dan akses kepada keadilan menjadikan beliau individu yang paling sesuai untuk memimpin Majlis ketika ia memulakan peranannya dalam memupuk media yang bebas, bertanggungjawab dan dikawal selia secara kendiri di Malaysia.

Majlis Media Malaysia ditubuhkan di bawah Akta Majlis Media Malaysia 2025 sebagai sebuah badan kawal selia kendiri bagi industri media.

Penubuhannya adalah satu langkah penting dalam reformasi landskap media negara, khususnya dalam membangunkan mekanisme yang lebih bebas, telus dan bertanggungjawab untuk menangani isu etika, aduan awam dan standard kewartawanan.

Sebagai sebuah badan bebas, Majlis Media Malaysia dipertanggungjawabkan untuk memperkukuh standard kewartawanan, mengendalikan mekanisme aduan awam berkaitan media, mempromosikan amalan beretika serta mempertahankan kebebasan media sebagai asas penting kepada demokrasi.

Video Terkini

Berita Berkaitan