JELEBU: Majlis Daerah Jelebu (MDJ) mengarahkan sebuah kilang memproses hampas kelapa sawit yang menyebabkan gangguan bau busuk kepada penduduk di sekitar Simpang Pertang menghentikan operasinya buat sementara waktu.
Yang Dipertua MDJ, Mohamad Syahanaz Mustapah berkata, operasi kilang berkenaan digantung berkuat kuasa Jumaat lalu.
Katanya kilang berkenaan hanya dibenarkan beroperasi sehingga pihak pengurusan dapat membuktikan satu sistem atau struktur kawalan pencemaran bau yang efektif siap dibina.
"Mereka perlu pastikan kaedah pencegahan bagi mengelak pencemaran bau berfungsi sepenuhnya sehingga tiada lagi pencemaran dihasilkan.
"MDJ akan memastikan semua perkara dipatuhi dan selepas berpuas hati barulah kilang berkenaan dibenarkan beroperasi semula," katanya ketika dihubungi.
Mohamad Syahanaz berkata pihak pengurusan kilang itu juga sudah diarahkan untuk melaksanakan kerja-kerja pembersihan dan pengalihan semua sisa kompos tandan sawit dari kilang dalam tempoh 30 hari.
Katanya sisa kompos itu dikenal pasti menjadi punca utama kepada pencemaran bau yang menyebabkan gangguan kepada penduduk.
"Siasatan juga mendapati bau busuk di Masjid Kariah Simpang Pertang adalah sama dengan bau busuk dari kilang berkenaan," katanya.
Media pada Jumaat lalu melaporkan gesaan Ahli Parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias supaya kilang memproses tandan sawit di Simpang Pertang itu dihentikan operasi sementara susulan aduan dan bantahan penduduk.
Operasi kilang berkenaan pernah dihentikan sementara bagi membolehkan pihak pengurusan memperbaiki sistem proses bahan buangan namun sebaik dibenarkan beroperasi semula kejadian pencemaran bau masih berulang.
























