BH Online
Ringkasan Berita

Operasi perkhidmatan ETS kembali beroperasi namun masih mengalami kesan kelewatan - KTMB

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini kembali beroperasi selepas kerja-kerja baik pulih dijalankan susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi - Seremban.
Operasi perkhidmatan ETS kembali beroperasi namun masih mengalami kesan kelewatan - KTMB

Foto hiasan.

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) kini kembali beroperasi selepas kerja-kerja baik pulih dijalankan susulan kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 458.872 antara Stesen Tiroi - Seremban.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan semalam, berkata bagaimanapun beberapa perkhidmatan ETS masih mengalami kelewatan sementara bagi membolehkan jadual operasi kembali stabil.

Antara laluan perkhidmatan ETS yang dijangka mengalami kelewatan sementara ialah laluan KL Sentral - JB Sentral - KL Sentral.

"Setakat jam 3.30 petang semalam, perkhidmatan ETS yang dijangka mengalami kelewatan adalah seperti berikut; EX9573 mengalami kelewatan 3 jam 34 minit, EP9524 mengalami kelewatan 2 jam 35 minit, EP9326 mengalami kelewatan 1 jam 40 minit serta EP9428 turut mengalami kelewatan selama 25 minit.

"Selain itu, ETS bagi P9323 pula mengalami kelewatan 2 jam 11 minit, diikuti EG9343 yang mengalami kelewatan 1 jam 14 minit, EG9442 mengalami kelewatan 2 jam 51 minit dan EX9575 pulamengalami kelewatan 1 jam," katanya.

KTMB turut memaklumkan, langkah kebajikan turut diambil bagi mengurangkan kesulitan yang dialami dengan menyediakan makanan dan minuman ringan kepada penumpang tren yang mengalami kelewatan melebihi 2 jam.

Sekiranya penumpang ETS yang turut terkesan dengan kelewatan melebihi dua jam dan memilih untuk tidak meneruskan perjalanan, pemulangan tambang penuh boleh didapati di kaunter tiket.

"Sejurus gangguan dikenal pasti, KTMB sudah menghantar notifikasi awal melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada penumpang terbabit bagi memaklumkan status perkhidmatan semasa serta jangkaan kelewatan tren supaya perjalanan dapat dirancang dengan lebih baik.

"Anggota Polis Bantuan KTMB bersama kakitangan operasi di Stesen Seremban turut membantu mengurus pergerakan penumpang serta menyalurkan maklumat terkini bagi memastikan kelancaran urusan penumpang yang terjejas.

"Penumpang dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi KTMB termasuk media sosial rasmi KTMB dan daripada kakitangan stesen yang bertugas," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan