BH Online
Ringkasan Berita

Empat sekeluarga maut, keluarga reda ketentuan Ilahi

BENTONG: “Kami reda dan menganggap semuanya sudah sampai ajal mereka.”
Empat sekeluarga maut, keluarga reda ketentuan Ilahi

Gambar kenangan Allahyarham A. Halim Hasdon (kiri), isterinya, Norbahyah Ahalim (dua kiri), anak perempuan mereka, Rozita Buang (tengah) bersama dua lagi anak yang terselamat ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini. Empat sekeluarga itu maut selepas kereta dinaiki mereka dihempap sebuah lori treler yang terbalik di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, petang semalam. FOTO IHSAN KELUARGA.

BENTONG: "Kami reda dan menganggap semuanya sudah sampai ajal mereka."

Demikian luahan kakak ipar kepada salah seorang mangsa selepas empat sekeluarga maut dalam kemalangan membabitkan sebuah lori treler dan kereta di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong, petang semalam.

Empat mangsa yang maut dikenal pasti sebagai A Halim Hasoon, 55, isterinya, Rozita Buang, 58, anak perempuan mereka, Norbahyah A Halim, 26, serta cucu perempuan mereka, Nayla Afya Aizat Faizal yang berusia setahun lima bulan.

Kakak ipar Rozita, Suzanna Shafii, 55, berkata, kehilangan empat ahli keluarga serentak amat mengejutkan dan menyedihkan, namun mereka menerima ketentuan Allah SWT dengan hati yang reda.

Menurutnya, kesemua mangsa menetap di FELDA Mempaga 1 dan mempunyai hubungan yang rapat dengan ahli keluarga lain.

"Mereka memang rapat dengan semua ahli keluarga. Kali terakhir kami bertemu adalah ketika sambutan Aidiladha baru-baru ini.

"Kami tidak sempat berhubung dengan mereka sebelum kejadian berlaku. Sudah tentu kami terkejut dan sedih apabila menerima berita tragedi ini," katanya.

Beliau berkata, Halim bekerja sebagai pemandu lori, manakala Norbahiyah dan Rozita merupakan suri rumah.

Katanya, pasangan suami isteri itu turut meninggalkan dua lagi anak yang masih hidup, masing-masing seorang lelaki dan seorang perempuan berusia lingkungan 20-an.

Menurut Suzanna, pemergian empat ahli keluarga dalam sekelip mata merupakan kehilangan besar buat keluarga mereka.

"Kami hanya mampu mendoakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman," katanya.

Beliau berkata, jenazah keempat-empat mangsa dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Mempaga 1 selepas selesai urusan bedah siasat di Hospital Temerloh.

Terdahulu, empat mangsa terbabit disahkan meninggal dunia selepas kereta yang mereka naiki dihempap sebuah lori treler membawa muatan habuk besi yang dipercayai hilang kawalan sebelum terbalik di Kilometer 43 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke Bentong kira-kira jam 4.30 petang semalam.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, siasatan awal mendapati lori treler yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Kuantan itu dipercayai hilang kawalan ketika melalui laluan menuruni bukit dan berselekoh sebelum terbalik ke sebelah kiri jalan lalu menghempap kereta mangsa yang berada di lorong kiri.

Akibat kemalangan itu, kesemua mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu treler berusia 40 tahun mengalami kecederaan di bahagian kepala dan pinggul serta menerima rawatan lanjut di hospital Bentong.

Beliau berkata, semakan turut mendapati pemandu lori mempunyai 15 rekod saman lampau manakala sampel darah telah diambil untuk tujuan analisis toksikologi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Video Terkini

Berita Berkaitan