BH Online
Ringkasan Berita

5 beradik yatim piatu akur berpisah, tinggal berasingan dengan 3 ibu saudara

BESUT: “Kalau boleh kami berlima tak mahu berpisah, namun kami terpaksa demi kebajikan adik-adik,” demikian kata Mohammad Danial Haikal Rosli, 19.
5 beradik yatim piatu akur berpisah, tinggal berasingan dengan 3 ibu saudara

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari ketika melawat lima beradik yatim piatu di Perumahan Gong Tengah, Kuala Besut, hari ini. - NSTP/Nurul Fatihah Sulaini

BESUT: "Kalau boleh kami berlima tak mahu berpisah, namun kami terpaksa demi kebajikan adik-adik," demikian kata Mohammad Danial Haikal Rosli, 19.

Danial adalah anak sulung kepada Rosli Abdullah, bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) meninggal yang dunia akibat serangan jantung ketika berusia 40 tahun pada akhir 2024.

Ibunya, Rohani Ab Rahim, pula meninggal dunia akibat kanser tulang pada Jun 2024 meninggalkan Danial dan empat adiknya kini berstatus yatim piatu dan terpaksa bergantung kasih dengan hidup berasingan bersama tiga ibu saudara sebelah ibu.

Ibu saudara, Rohana Ab Rahim, 43, berkata selain Danial, dia menjaga dua lagi anak arwah adiknya iaitu Nur Damia Aliesya, 16 dan Nur Dhia Izarra, 13.

"Anak keempat arwah, Nur Dinar Raisha yang berusia sembilan tahun dijaga adik saya, Rosnani, 39, sementara anak bongsu arwah, Mohammad Darwish Addeb berusia empat tahun dijaga adik saya, Roslizawati, 40.

"Saya sendiri ada empat anak namun tetap mahu menjaga tiga anak buah kerana arwah pernah berpesan sekiranya terjadi apa-apa minta supaya jaga anak-anaknya," katanya ketika ditemui di Perumahan Gong Tengah, Kuala Besut, di sini, hari ini.

Rohana berkata, dia akan memastikan kebajikan serta pendidikan anak-anak arwah sentiasa diutamakan bagi memastikan mereka mencapai kejayaan seperti insan lain.

"Adik-beradik ini mendapat bantuan persekolahan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800 sebulan.

"Selalunya setiap kali ada cuti persekolahan yang panjang lima beradik ini akan berkumpul di rumah saya, sekurang-kurangnya dapat mengubati rindu terutamanya kepada adik bongsu mereka," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkesempatan menziarahi lima beradik yatim piatu ini sambil menghulurkan bantuan.

Video Terkini

Berita Berkaitan