HULU LANGAT: Masih segar dalam ingatan Aizuddin Saad apabila mendengar tangisan dan melihat sendiri mangsa tersepit dalam celah runtuhan tanah di Rumah Anak Yatim dan Anak Hidayah Madrasah At-Taqwa di sini, 15 tahun lalu.
Selepas sedekad setengah tragedi itu, jurugambar The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) itu kembali semula ke lokasi kejadian bagi membuat liputan kali kedua untuk merakam keadaan terkini kawasan madrasah berkenaan menggunakan dron, Sabtu lalu.
Aizuddin, 41, berkata semua memori ketika membuat liputan tragedi itu kembali bermain di fikirannya sebaik saja menjejakkan semula kakinya di lokasi terbabit.
"Memang terdetik hendak masuk semula ke kawasan itu, tetapi saya masih trauma mengenangkan pelajar yang tersepit pada tiang bangunan ketika kejadian.
"Selain itu, keadaan lokasi kejadian yang kini dipenuhi semak samun dan lalang tinggi juga membuatkan saya tidak mahu mengambil risiko masuk lebih jauh ke dalam kawasan bangunan terbiar itu," katanya.

Antara yang terawal tiba di lokasi
Mengimbau tragedi itu, cerita Aizuddin dia antara petugas media terawal tiba di lokasi kejadian dan menyaksikan sendiri detik cemas operasi menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah di madrasah berkenaan.
Katanya, pada hari kejadian dia baru selesai membuat liputan di Penjara Kajang sebelum dihubungi penyelia bertugas ketika itu, Hassan Ismail kira-kira 2.30 petang untuk ke Hulu Langat selepas menerima maklumat berlaku tanah runtuh.
"Semasa sedang menunggang motosikal menuju ke madrasah itu, saya terserempak dengan rakan sekerja, Yazit Razali yang turut ditugaskan membuat liputan kejadian itu.
"Dalam perjalanan, saya sempat berfikir mungkin kejadian tanah runtuh biasa saja, malah bila sampai depan madrasah, saya tengok dari luar bangunan itu nampak elok dan tidak macam berlaku runtuhan besar," katanya.

Dari luar nampak biasa
Namun, menurutnya, sebaik melangkah masuk ke bahagian dalam bangunan madrasah, dia tergamam melihat keadaan sebenar apabila bahagian belakang bangunan itu sudah ditimbus tanah runtuh dari lereng bukit berhampiran.
Ketika itu anggota bomba dan penduduk kampung sudah mula menjalankan operasi menyelamat mangsa yang tertimbus dalam runtuhan tanah manakala polis dan pengamal media lain belum tiba.
"Sampai sekarang saya masih ingat tangisan dan suara pelajar yang meraung kesakitan meminta tolong ketika itu.
"Saya juga nampak ada mayat pelajar bertindih antara satu sama lain selain beberapa mangsa yang masih hidup tersepit pada struktur dan tiang bangunan dalam keadaan runtuhan tanah masih belum stabil.
"Masa itu saya cuba tarik nafas panjang supaya tidak panik dan kekal fokus ambil gambar," katanya.

Ramai penduduk kampung cuba bantu
Aizuddin berkata, situasi dalam bangunan ketika itu amat sukar kerana ruang sempit, panas dan dipenuhi penduduk kampung yang cuba membantu menyelamatkan mangsa.
"Saya hanya gunakan apa saja ruang dan celah yang ada untuk ambil gambar terbaik.
"Waktu itu, hendak bantu pun susah sebab keadaan terlalu sempit dan pengudaraan pun kurang," katanya.
Menurutnya, antara detik paling tidak boleh dilupakan apabila dia tidak menyedari terdapat jasad mangsa masih tertimbus di bawah runtuhan tanah ketika merakam gambar.
"Saya melompat terkejut sebab tidak sangka bawah tanah itu ada mayat pelajar tertimbus.
"Selepas polis tiba, kawasan kejadian kemudian ditutup daripada dikerumuni orang ramai bagi memudahkan operasi menyelamat dijalankan.
"Saya kemudian kembali sambung mengambil gambar di sekitar luar bangunan selepas diarahkan keluar dari madrasah itu," katanya.
Aizuddin mengakui pengalaman membuat liputan tragedi itu antara memori yang tidak boleh dilupakan sepanjang 17 tahun bertugas sebagai jurugambar.
























