ALOR SETAR: Negeri dikuasai Perikatan Nasional (PN) iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) dijangka mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) serentak bersama Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) akan datang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata langkah itu dilihat lebih efektif dan memudahkan jentera parti untuk bergerak selain turut menjimatkan kos.
Katanya, beliau pernah membincangkan perkara itu bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kemudiannya dilihat bersetuju agar PRN dan PRU diadakan serentak.
"Harapan saya adalah PRN (empat negeri) dan Parlimen diadakan sekali. Jadi kita tak perlu buat kerja banyak kali, (kalau berasingan) akan ambil masa. (Jika buat serentak) banyak kos dapat dijimatkan dan memudahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Saya biasa sembang dengan Perdana Menteri (untuk adakan pilihan raya serentak) dan dia setuju, saya tanya bila tarikh (pilihan raya) dan dia kata boleh bincang," katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kedah di Kompleks PAS Kota Sarang Semut di sini, malam tadi.
Untuk rekod, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika PRU15 diadakan pada 2022, sebaliknya memilih mengadakan PRN secara berasingan pada Ogos 2023.
Hanya Perlis yang ketika itu ditadbir Barisan Nasional (BN) memilih membubarkan DUN pada 2022 bagi membolehkan PRN diadakan serentak PRU15.
Mengulas mengenai kemungkinan PAS terbabit dalam jajaran baru dalam politik menjelang PRU16, Muhammad Sanusi menjelaskan parti itu perlu sentiasa 'bergerak' bagi memastikannya dapat terus kekal relevan.
"Semua parti perlu bergerak berdasarkan keperluan dan kehendak semasa bagi mengikut pola pemikiran. Jadi parti kena bergerak, tak boleh duduk statik kerana ia akan ditinggalkan, jadi parti zaman batu.
"PAS juga kena bergerak selagi prinsip kita tidak berubah, perjuangan kita kekal. Tetapi strategi kena ada untuk memenangi hati pengundi dapat dibuat dengan semua parti akan mengambil peluang sama," katanya.
























