KUALA LUMPUR: Lembaga Tabung Haji (TH) menyerahkan zakat bagi tahun kewangan 2025 berjumlah RM3,155,678.55 kepada Majlis Agama Islam Negeri Melaka (MAIM).
Penyerahan zakat disempurnakan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mustakim Mohamad kepada Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Dr Mohd Ali Mohd Rustam.
Mustakim berkata, zakat disalurkan bukan sekadar tanggungjawab, tetapi pemangkin perubahan dalam memperbaiki kualiti kehidupan golongan asnaf dan yang memerlukan di Melaka.
"Bagi TH, penyaluran zakat setiap tahun ke seluruh negara termasuk Melaka, adalah amanah yang dipikul dengan penuh tanggungjawab,
"Melalui pembayaran zakat ini, TH berharap lebih ramai golongan asnaf dan mereka yang memerlukan dapat dibantu melalui pelbagai program kebajikan, pendidikan dan kesihatan yang dilaksanakan oleh pihak berkuasa agama negeri," katanya melalui kenyataan.
Bagi 2025, TH turut memperuntukkan RM1.065 juta bagi pelaksanaan pelbagai program zakat wakalah di Melaka.
Antaranya Program Iqra' TH IPTA di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Program Afiat yang menyediakan 50 katil mekanikal di beberapa hospital di negeri, Program Iqra' Sekolah Angkat Madani serta Program Ehsan Raya serta inisiatif TH Cares.
Semua sumbangan itu memberi manfaat kepada 2,770 orang asnaf di Melaka.
Menurut Mustakim, pengagihan zakat wakalah TH melalui program yang dirancang secara khusus selaras maqasid shariah bagi memastikan zakat dimanfaatkan secara strategik dan mampan dan diagihkan secara terus kepada asnaf.
Melalui Program Zakat Wakalah TH, bantuan kepada lebih 726,000 asnaf di seluruh negara disalurkan sepanjang 2025, menjadikan jumlah keseluruhan penerima bantuan melebihi 2.9 juta asnaf dalam tempoh sedekad.
Sehingga 31 Mei 2026, TH mempunyai 397,624 pendeposit di Melaka dengan jumlah simpanan terkumpul RM3.12 bilion.
























