BH Online
Ringkasan Berita

Fariza dilantik Timbalan Naib Canselor baharu UKM

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Fariza Md Sham dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) wanita pertama universiti berkenaan, berkuat kuasa 15 Jun ini.
Fariza dilantik Timbalan Naib Canselor baharu UKM

Prof Datuk Dr Fariza Md Sham.

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Datuk Dr Fariza Md Sham dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) wanita pertama universiti berkenaan, berkuat kuasa 15 Jun ini.

Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sufian Jusoh, berkata Fariza dikenali sebagai profesor wanita yang aktif dan berpengaruh dalam bidang psikologi dakwah remaja dan psikologi Islam, selain antara pelopor utama dalam dua bidang berkenaan.

Sumbangan signifikan dalam pembangunan ilmu serta penyelidikan bidang terbabit melayakkan beliau diiktiraf sebagai Felo Akademi Sains Malaysia (ASM), pengiktirafan berprestij mencerminkan sumbangan luar biasa dalam bidang pengajian dan tamadun Islam, dakwah serta psikologi Islam.

Fariza juga menjadi pakar rujuk di peringkat kebangsaan dan antarabangsa, malah kepakaran serta sumbangannya di Jabatan Dakwah dan Kepimpinan, Fakulti Pengajian Islam UKM turut mendapat pengiktirafan global apabila beliau dilantik sebagai Duta Pendidikan Uzbekistan ke Malaysia.

Beliau turut memegang beberapa jawatan akademik antarabangsa sebagai profesor pelawat di Universiti Islam Sultan Ahmad Shah, Pahang, selain di beberapa institusi di Uzbekistan, iaitu Tashkent State University of Oriental Studies, International Islamic Academy dan Silk Road International University of Tourism and Cultural Heritage.

Fariza memperoleh Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) dari UKM pada 1994, diikuti Ijazah Sarjana Pengajian Islam (Dakwah dan Kepimpinan) dari universiti yang sama pada 1997.

Sufian berkata, berkata pelantikan berkenaan mampu memperkasakan hubungan akademik dan kerjasama strategik antara UKM bersama institusi antarabangsa.

"Pelantikan ini akan memupuk kerjasama lebih erat dengan institusi luar negara melalui hubungan strategik dan jaringan akademik yang mampan, di samping memastikan kualiti aktiviti pengantarabangsaan universiti terus dipantau dan dipertingkatkan.

"Ia juga selaras dengan aspirasi UKM bagi mencapai kualiti pendidikan bertaraf dunia serta memperluas agenda pengantarabangsaan universiti," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan