KUALA LUMPUR: Portal digital tempatan, The Vocket melancarkan kempen 'Euforia Bola' sebagai destinasi utama peminat bola sepak tempatan sepanjang kejohanan bola sepak terbesar dunia 2026 yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai ini.
Inisiatif berkenaan diperkenalkan bagi meraikan keterujaan rakyat Malaysia terhadap sukan bola sepak yang dilihat sebagai sebahagian daripada budaya masyarakat, termasuk tradisi menonton bersama keluarga dan rakan-rakan.
Pelbagai kandungan digital
Melalui kempen itu, The Vocket menawarkan pelbagai kandungan digital merangkumi previu dan ulasan perlawanan, kupasan taktikal serta pengalaman interaktif secara masa nyata bagi meningkatkan pengalaman tontonan peminat.
Antara pengisian utama termasuk analisis sebelum perlawanan yang menyentuh ramalan kesebelasan utama, prestasi semasa pasukan serta faktor penting yang mempengaruhi keputusan perlawanan.
Selain itu, ulasan selepas perlawanan turut disediakan dengan penekanan terhadap detik penting, prestasi pemain serta keputusan taktikal yang menjadi penentu kepada perjalanan perlawanan.
Bagi peminat yang mahukan analisis lebih mendalam, 'Euforia Bola' turut menyediakan kupasan taktikal dan teknikal secara santai dan mudah difahami, meliputi aspek formasi, corak permainan serta strategi pasukan.
Dalam masa sama, platform itu juga berfungsi sebagai 'skrin kedua' ketika siaran langsung perlawanan dengan menyediakan reaksi masa nyata, perbincangan komuniti serta kemas kini pantas kepada pengguna.
Portal SAYS Seismik turut bekerjasama sebagai rakan digital dalam menjayakan kempen berkenaan menerusi siaran langsung dan kandungan eksklusif bagi meluaskan capaian kepada pelbagai lapisan masyarakat.
The Vocket yang mempunyai pengalaman luas dalam liputan bola sepak tempatan dan antarabangsa yakin platform khas ini mampu menjadi pusat rujukan utama peminat sepanjang kejohanan berlangsung.
Peminat boleh mengikuti perkembangan terkini, analisis serta kandungan eksklusif menerusi laman khas 'Euforia Bola' selain platform media sosial rasmi The Vocket.























