BH Online
Ringkasan Berita

'Saya berasa nama saya telah dibela': Tukang emas Lubnan lega kemenangan kes RM67.5 juta terhadap Rosmah

KUALA LUMPUR: Pengasas Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh, berkata beliau berasa lega dan mendapat pembelaan selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar ganti rugi RM67.5 juta dalam pertikaian berkaitan barang kemas mewah.
'Saya berasa nama saya telah dibela': Tukang emas Lubnan lega kemenangan kes RM67.5 juta terhadap Rosmah

Pengasas Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh (gambar kecil) dan peguam, Datuk David Gurupatham.

KUALA LUMPUR: Pengasas Global Royalty Trading SAL, Samer Halimeh, berkata beliau berasa lega dan mendapat pembelaan selepas Mahkamah Tinggi memerintahkan Datin Seri Rosmah Mansor membayar ganti rugi RM67.5 juta dalam pertikaian berkaitan barang kemas mewah.

Menggambarkan keputusan itu sebagai kemuncak perjuangan undang-undang yang berlarutan selama lapan tahun, ahli perniagaan kelahiran Lubnan berusia 51 tahun itu berkata, penghakiman berkenaan mengukuhkan keyakinannya terhadap sistem kehakiman Malaysia.

"Saya gembira dengan keputusan ini. Mahkamah Malaysia sekali lagi membuktikan bahawa ia bebas.

"Penghakiman itu sangat jelas. Saya berasa nama saya telah dibersihkan," katanya.

Samer berkata, syarikatnya berdepan pelbagai cabaran sepanjang proses litigasi, termasuk dakwaan bahawa tuntutan yang difailkan adalah palsu serta serangan terhadap kredibiliti peribadinya.

"Ia mengambil masa lapan tahun untuk mencapai keputusan ini, dengan pelbagai halangan termasuk kempen negatif di media sosial oleh pihak tertentu yang mendakwa syarikat dan tuntutan kami adalah palsu.

"Terdapat juga usaha untuk mempertikaikan kredibiliti saya. Oleh itu, saya berasa nama saya akhirnya dibela," katanya.

Kelmarin, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Quay Chew Soon, memerintahkan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak itu membayar RM67,461,027.37 dalam tempoh sebulan selepas mendapati beliau bertanggungjawab kerana gagal memulangkan 43 barang kemas mewah yang dibekalkan secara konsainan.

Mengikut undang-undang Malaysia, pemiutang penghakiman boleh terlebih dahulu mendapatkan penguatkuasaan melalui langkah seperti penyitaan dan penjualan harta, tindakan garnisi serta pemeriksaan penghutang penghakiman sebelum mengambil langkah kebankrapan sebagai pilihan terakhir.

Kes saman itu melibatkan 44 barang kemas mewah bernilai AS$14.57 juta (kira-kira RM68.3 juta) yang menurut Global Royalty telah dibekalkan kepada Rosmah pada tahun 2018 secara konsainan untuk tujuan tontonan.

Syarikat itu mendakwa barang kemas tersebut kekal menjadi miliknya dan tidak pernah dipulangkan, sekali gus mendorong tindakan saman bagi mendapatkan pampasan.

Hanya satu item, iaitu gelang berlian dan zamrud, berjaya ditemui dan dipulangkan kepada syarikat barang kemas itu selepas prosiding pelucuthakan, manakala baki 43 barang kemas masih tidak dapat dikesan.

Samer turut merakamkan penghargaan kepada pasukan guamannya yang diketuai oleh Datuk David Gurupatham dan Venothani Rajagopal atas komitmen mereka sepanjang kes tersebut.

"Saya dan keluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada peguam-peguam saya atas usaha luar biasa dan tidak berbelah bahagi selama bertahun-tahun ini.

"Tidak ramai yang percaya saya akan mendapat keadilan di Malaysia. Namun, keadilan akhirnya ditegakkan", katanya.

Beliau berharap Rosmah akan menjelaskan jumlah yang diperintahkan mahkamah supaya perkara itu dapat diselesaikan sepenuhnya.

Terdahulu, David berkata anak guamnya akan menggunakan semua saluran perundangan yang tersedia untuk mendapatkan semula jumlah RM67.5 juta yang dianugerahkan oleh Mahkamah Tinggi, termasuk memulakan prosiding kebankrapan jika perlu sebagai langkah terakhir.

Video Terkini

Berita Berkaitan