TEMERLOH: Kira-kira 90 peratus kepimpinan BERSATU Bahagian Temerloh mengambil keputusan meninggalkan parti itu untuk menyertai Gerakan RESET diterajui bekas Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Ketua BERSATU Bahagian Temerloh, Datuk Mohd Rofaie Hamdan berkata keputusan berkenaan dibuat selepas mesyuarat jawatankuasa bahagian hari ini dengan majoriti kepimpinan memilih meneruskan perjuangan politik melalui wadah baharu terbabit.
Beliau berkata, daripada keseluruhan 20 ahli jawatankuasa bahagian, hanya tiga memilih untuk kekal, manakala selebihnya bersama Gerakan RESET.. boleh dikatakan lebih 90 peratus (sertai RESET).
"Ini bukan keputusan individu, sebaliknya dibuat selepas mengambil kira pandangan akar umbi, kepimpinan serta perkembangan politik semasa.
"Kita tak tetapkan sasaran jumlah ahli BERSATU yang akan menyertai RESET dalam masa terdekat, namun percaya sokongan akan terus meningkat.
"Beberapa bahagian lain di seluruh negara turut dilaporkan menyatakan sokongan terhadap Gerakan RESET dan jumlah itu dijangka bertambah selepas konvensyen pertama gerakan berkenaan diadakan di Tanah Merah pada 13 Jun ini," katanya selepas mesyuarat hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Rofaie menegaskan langkah diambil pihaknya itu tidak akan menjejaskan kekuatan Perikatan Nasional (PN) di bahagian berkenaan.
Tegas beliau, penghijrahan ahli BERSATU RESET tidak bermakna mereka meninggalkan PN, sebaliknya gerak kerja politik bersama PAS dan parti komponen lain akan diteruskan seperti biasa kerana individu menggerakkan PN sebelum ini daripada kelompok sama.
"PN di Temerloh dan Pahang tidak akan terjejas. Kami hanya berpindah daripada BERSATU kepada wadah baharu, namun tetap bersama rakan-rakan dalam PN.
"Hubungan dengan PAS kekal baik dan setiap keputusan yang dibuat mengambil kira pandangan semua pihak termasuk rakan-rakan komponen," katanya.
Mengenai keputusan PAS menamatkan hubungan dengan BERSATU di peringkat Pusat, katanya ia juga dijangka memberi kesan kepada sentimen ahli-ahli BERSATU di pelbagai bahagian.
"Ramai ahli di peringkat akar umbi mempunyai hubungan kerja yang baik dengan PAS serta parti-parti komponen lain dalam PN. Perkembangan ini mungkin mendorong lebih banyak bahagian mengambil langkah yang sama," katanya.
























