KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menumpukan kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), selain Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta literasi kecerdasan buatan (AI) dalam agenda pembangunan pendidikan di negeri itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata ia sejajar pemerkasaan modal insan, di samping peluasan bantuan pendidikan kepada pelajar untuk memastikan setiap anak Sabah memperoleh peluang pendidikan terbaik tanpa mengira kaum dan latar belakang.
"Bidang kemahiran dan pembangunan belia akan terus diperkasa melalui peluasan biasiswa dan bantuan pendidikan.
"Pemerkasaan TVET, pengukuhan STEM, latihan pertanian dan teknologi digital dengan penumpuan terhadap literasi AI antara bidang yang turut diberi keutamaan oleh kerajaan negeri," katanya pada Majlis Apresiasi Pengurusan Sekolah (MAPenS) Keempat 2026 anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Hajiji berkata, kerajaan negeri sentiasa menyokong usaha memperkasa pendidikan melalui pelbagai inisiatif dan kerjasama strategik bersama JPNS serta Kementerian Pendidikan (KPM).
Antara inisiatif dilaksanakan termasuk pembinaan dan naik taraf sekolah, penyediaan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), program motivasi murid luar bandar, bantuan biasiswa kepada pelajar kurang berkemampuan serta pelbagai intervensi pendidikan bagi meningkatkan pencapaian akademik dan sahsiah pelajar.
Beliau berkata, kerajaan negeri juga meneruskan pelbagai bantuan pendidikan termasuk biasiswa dan dermasiswa serta 14 inisiatif bantuan pendidikan sedia ada.
"Antaranya Bantuan Tunai Pendaftaran IPT Secara One-Off (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer, Bantuan Khas Tunai Peperiksaan, Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah dan Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Sabah (SENTOSA).
"Yayasan Sabah dan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) turut menawarkan bantuan pendidikan yang boleh dimanfaatkan rakyat," katanya.
Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada seluruh warga pendidikan atas pencapaian memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.
Katanya, peningkatan prestasi berdasarkan Gred Purata Negeri (GPN) daripada 5.00 pada 2024 kepada 4.85 pada 2025 membuktikan komitmen tinggi dan usaha gigih warga pendidik dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Sabah.
























