BH Online
Ringkasan Berita

Pemandu rentung MPV terbakar selepas rempuh treler

BERUAS: Seorang pemandu maut selepas terperangkap dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbakar dalam kemalangan dengan treler di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari, awal pagi tadi.
Pemandu rentung MPV terbakar selepas rempuh treler

Penolong Pengarah Operasi JBPM Perak, Sabarodzi Nor Ahmad. Gambar fail

BERUAS: Seorang pemandu maut selepas terperangkap dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) yang terbakar dalam kemalangan dengan treler di Jalan Batu 9, Kampung Semangat, Segari, awal pagi tadi.

Mangsa yang dipercayai memandu Toyota Innova rentung sehingga tidak dapat dikenal pasti selepas kenderaan itu terbakar dalam kemalangan yang berlaku kira-kira jam 4.30 pagi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, berkata anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Pantai Remis dikejarkan ke lokasi sejurus menerima panggilan kecemasan.

"Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapati Toyota Innova itu marak terbakar dengan kira-kira 90 peratus kenderaan musnah dijilat api.

"Selepas api berjaya dipadamkan, kami menemui seorang mangsa terperangkap dalam kenderaan itu yang rentung hingga tidak dapat dikenal pasti dan jantinanya juga belum diketahui," katanya.

Sabarodzi berkata, Toyota Innova itu hampir musnah sepenuhnya selepas merempuh sebuah treler dan pemandu treler berusia 60 tahun hanya cedera ringan dalam kejadian itu.

"Pemandu yang cedera menerima rawatan awal daripada petugas perubatan di lokasi sebelum dibawa ke hospital dengan ambulans untuk rawatan lanjut," katanya.

Sabarodzi berkata, anggota bomba menggunakan peralatan khas bagi mengeluarkan mayat mangsa dari bangkai kenderaan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Katanya, pasukan bomba turut menjalankan kerja pembersihan jalan bagi mengalihkan serpihan kenderaan dan tumpahan minyak akibat kemalangan itu.

"Operasi membabitkan enam anggota bomba dan sebuah jentera berjaya dikawal pada jam 5.30 pagi serta ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.48 pagi," katanya.

Video Terkini

Berita Berkaitan