GUA MUSANG: Serangan sawan ketika mendulang dipercayai punca pendulang emas ditemui lemas di Sungai Ulu Galas, di kawasan Kampung Pulai, di sini, tengah malam tadi.
Sebelum kejadian Mohamad Tarmizi Darwish, 35, dikatakan keluar bersendirian untuk mendulang emas sebelum ditemukan lemas oleh rakannya.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo, berkata pihaknya menerima makluman tentang kejadian terbabit oleh isteri mangsa, Nur Shafiqa Hani Mohd Zuki, 30, yang mengatakan suaminya tidak sedarkan diri di dalam sungai.
Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa berkemungkinan mengalami kekurangan oksigen dipercayai selepas diserang sawan ketika berada di dalam sungai.
"Pemeriksaan turut mendapati keadaan lidah mangsa tergigit yang menjadi antara petunjuk mangsa mungkin mengalami serangan sawan.
"Maklumat daripada keluarga juga mengesahkan mangsa mempunyai sejarah penyakit sawan dan sering mengalami serangan," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.
Beliau berkata, pemeriksaan secara fizikal mayat mangsa tidak menemui sebarang perkara meragukan yang boleh dikaitkan dengan kesalahan jenayah.
Katanya, berdasarkan maklumat isteri, mangsa keluar rumah seorang diri dengan memandu perodua kembara pergi ke sungai terbabit untuk mendulang emas.
"Berdasarkan keterangan saksi dan siasatan tempat kejadian, tidak ada keterangan yang boleh mengaitkan kematian simati dengan perlakuan jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.
Jenazah Mohamad Tarmizi selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Kerinting selepas maghrib hari ini.
























