KUANTAN: Jabatan Perhutanan Negeri Perak sedang menilai semula prosedur operasi standard (SOP) aktiviti mendaki Gunung Batu Putih yang terletak dalam Hutan Simpan Bukit Tapah, Perak.
Tindakan berkenaan penting bagi memastikan episod kejadian pendaki tersesat seperti berlaku kepada Jaslinda Saludin yang hilang ketika menyertai pendakian Trans Spencer Chapman pada 23 Mei lalu menggunakan laluan Pos Gedung-Gunung Bah Gading-Gunung Batu Putih-Kuala Woh tidak berulang.
Pengarahnya, Datuk Mohd Basri Abdul Manaf, berkata untuk kajian berkenaan pihaknya terpaksa menutup sementara kawasan pendakian Gunung Batu Putih selama antara tiga hingga enam bulan.
Beliau berkata beberapa SOP perlu dinilai semula dan ditambah baik yang perlu diikuti oleh Malim Gunung Perhutanan (MGP) termasuk pendaki selain kerjasama antara jabatan dan MGP termasuk masyarakat Orang Asli perlu terus diperkemaskan untuk kebaikan kedua belah pihak.
"Sebelum ini jabatan sentiasa menitikberatkan SOP bagi mereka yang berada dalam hutan simpan bagi menjamin keselamatan mereka sepanjang melakukan aktiviti riadah, kita ingin melihat setiap mereka tidak berhadapan sebarang kejadian tidak diingini.
"Kini kita wajibkan mereka yang memasuki hutan simpan bukan sahaja perlu memiliki permit tetapi juga mendapat khidmat MGP berpengalaman yang mengiringi mereka sepanjang berada dalam hutan simpan," katanya.
Beliau ditemui pada Persidangan Pengarah-Pengarah Perhutanan Negeri Semenanjung Malaysia Ke-46 di Kompleks Yayasan Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata, mereka yang bercadang untuk mendaki Gunung Batu Putih dalam masa terdekat diharap bersabar, jabatan akan membuka semula kawasan terbabit selepas kajian SOP selesai dilakukan pihaknya dengan nasihat beberapa agensi penyelamat.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Malim Gunung Perak, Nur Shahira Abdul Rauf, berkata pihaknya akur dengan keputusan yang dibuat oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perak berhubung penutupan sementara kawasan pendakian Gunung Batu Putih selamat tiga hingga enam bulan demi kebaikan bersama.
Menurutnya, kini terdapat lebih 350 ahli MGP Perak yang terbabit dengan aktiviti dalam kawasan hutan simpan termasuk pendakian gunung di Perak.
Terdapat kira-kira 55 kawasan pendakian dan lima gunung yang terkenal sering dikunjungi pendaki dalam dan luar negara.
Katanya, Gunung Batu Putih terkenal dalam kalangan pendaki dan MGP, boleh dikatakan hampir setiap minggu aktiviti mendaki dilakukan secara individu dan berkumpulan di kawasan berkenaan sehinggalah kes pendaki wanita Jaslinda yang tersesat selama 15 hari.
"Penutupan dalam tempoh tiga hingga enam bulan tidak terlalu menjejaskan pendapatan ahli MGP kerana mereka masih boleh membawa pendaki mendaki di 55 gunung di Perak, terdapat lima gunung terkenal menjadi tumpuan pengunjung," katanya.
























