KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini dijadualkan menyampaikan keputusan berhubung saman bernilai AS$14.57 juta (RM68.3 juta) yang difailkan syarikat barang kemas mewah dari Lubnan, Global Royalty Trading SAL Ltd, terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung kehilangan lebih 40 barang kemas bernilai tinggi itu.
Pada prosiding 15 April lalu, Hakim Datuk Quay Chew Soon menetapkan tarikh hari ini selepas pendengaran kes saman terbabit selesai dengan Chong Tong Leong yang juga saksi keenam bagi Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia selaku pihak ketiga dalam kes saman itu, selesai memberi keterangan.
Chew Soon turut dijangka menentukan sama ada Ketua Polis Negara dan kerajaan, yang dibawa masuk oleh Rosmah sebagai pihak ketiga dalam prosiding berkenaan, perlu menanggung sebarang liabiliti atau menyumbang kepada ganti rugi yang mungkin diberikan kepada plaintif.
Kes itu membabitkan 44 barangan kemas yang menurut Global Royalty Trading dibekalkan kepada Rosmah secara konsainan untuk tujuan tontonan, namun tidak dipulangkan semula.
Rosmah bagaimanapun menegaskan bahawa barang kemas berkenaan hilang selepas beberapa siri serbuan polis dijalankan di Pavilion Residences sejurus selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) pada Mei 2018.
Serbuan itu berkaitan siasatan terhadap skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sepanjang prosiding, mahkamah mendengar keterangan daripada Pengarah Urusan Global Royalty Trading, Samer Hassib Halimeh, selain Rosmah dan beberapa pegawai polis yang terbabit dalam operasi berkenaan.
Antara saksi utama ialah bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, dan Asisten Komisioner Foo Wei Min dari Bahagian Siasatan Pengubahan Wang Haram, Bukit Aman.
Keterangan yang dikemukakan menunjukkan bahawa pada 17 Mei 2018, polis menggeledah unit kediaman milik anak-anak Najib namun tidak menemukan sebarang barang berkaitan.
Penyiasat kemudian menyerbu sebuah unit yang tidak berpenghuni dan sedang diubah suai, yang didaftarkan atas nama ahli perniagaan Tan Sri Bustari Yusuf. Dalam serbuan itu, polis menemui serta menyita 71 beg, sebuah kotak plastik dan 284 kotak mengandungi beg tangan.
Saksi polis memberitahu mahkamah bahawa rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan beg dan kotak berkenaan dipindahkan ke unit itu antara 11 Mei hingga awal pagi 12 Mei 2018.
Mahkamah turut diberitahu bahawa hanya satu daripada 44 barangan kemas yang dituntut syarikat berkenaan dikenal pasti ketika pemeriksaan terhadap barangan yang disimpan di Bank Negara Malaysia. Barang kemas itu, iaitu gelang berlian zamrud, kemudian dipulangkan kepada syarikat terbabit.
Global Royalty memfailkan saman pada 26 Jun 2018 bagi mendapatkan perintah mahkamah supaya Rosmah memulangkan semula barang kemas yang dihantar untuk tujuan tontonan, termasuk berlian, anting-anting, cincin, gelang dan sebuah tiara.
Sebelum ini BERNAMA melaporkan pada 29 Mac 2023, Global Royalty menyaman Rosmah dan mendakwa beliau berbohong bahawa 44 barang kemas termasuk kalung berlian, anting-anting, cincin, gelang dan tiara yang diserahkan oleh ejen syarikat kepada beliau telah dirampas pihak berkuasa Malaysia atas kesalahan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Syarikat berpangkalan di Beirut itu mendakwa hanya satu daripada 44 barang kemas terbabit berada dalam simpanan dan kawalan polis, manakala baki 43 lagi tidak berada dalam jagaan mereka.
Global Royalty kemudian mendakwa bahawa Rosmah meletakkan tanggungjawab kepada Kerajaan Malaysia sedangkan sebenarnya barang kemas itu telah hilang.
























