KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memaklumkan video tular di media sosial baru-baru ini berhubung aktiviti perniagaan di hadapan Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC) adalah rakaman lama.
DBKL dalam kenyataan hari ini, menjelaskan video tular itu mempunyai satu papan tanda sahaja berbanding situasi semasa menunjukkan dua papan tanda di kawasan terbabit.
"Berdasarkan rekod rakaman kamera litar tertutup (CCTV) DBKL, tiada sebarang aktiviti perniagaan seperti yang disiarkan dalam video itu di kawasan berkenaan sepanjang tahun ini," katanya.
Sebelum ini, video itu tular di media sosial sehingga menimbulkan persoalan dan mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat.
Mengulas lanjut, DBKL juga memaklumkan sebanyak 2,108 tindakan penguatkuasaan diambil di kawasan Jalan Imbi membabitkan 1,795 notis kompaun, 39 notis penguatkuasaan serta 274 sitaan terhadap pelbagai kesalahan halangan struktur dan penjaja bagi tempoh Januari hingga Mei 2026.
"DBKL sentiasa melakukan pemantauan dan penguatkuasaan di Parlimen Bukit Bintang termasuk sekitar kawasan KLCC.
"Orang ramai diingatkan supaya mendapatkan maklumat yang sahih serta tidak membuat sebarang andaian atau menyebarkan maklumat yang tidak pasti," katanya.
























