KUALA LUMPUR: Etnik Rohingya didakwa membina kediaman seakan flat empat tingkat secara tidak sah di kawasan terpencil di Sungai Tekali, Hulu Langat, Selangor.
Pendedahan itu dilakukan penyampai radio dan pelakon, Azad Jasmin, 50, atau dikenali Pak Azad yang secara kebetulan melalui jalan terbabit sebelum merakam video memaparkan keadaan flat yang mencurigakan.
Video tular terbabit menunjukkan kediaman bertingkat dengan laluan koridor ditutup bumbung zink, struktur dinding batu bata yang tidak disimen dengan sempurna, di samping sambungan paip air dan wayar elektrik yang mencurigakan.
Azad berkata, rakaman video itu dibuat secara tidak sengaja ketika dia dalam perjalanan ke lokasi penggambaran klip lagu raya di Hulu Langat sebelum Ramadan lalu.
Menurutnya, dia bersama pembantu peribadinya tersesat jalan selepas terlepas simpang dan mengambil laluan alternatif sebelum ternampak struktur bangunan bertingkat yang mencurigakan di kawasan berkenaan.
"Saya dan pembantu peribadi memang terkejut sebab tak pernah nampak struktur seperti itu.
"Pada mulanya saya sangka mungkin penempatan golongan kurang berkemampuan, tetapi apabila dilihat dari dekat, reka bentuk dan keadaan binaannya nampak pelik.
"Ia seolah-olah dibina sendiri secara berperingkat oleh penghuni di situ. Sebab itu saya rakam video berkenaan," katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.
Azad berkata, ketika merakam video berkenaan dia turut melihat sekumpulan lelaki dipercayai etnik Rohingya berjalan di kawasan terbabit sebelum mengambil keputusan meninggalkan lokasi itu kerana perlu meneruskan perjalanan ke lokasi penggambaran.
Katanya, struktur bangunan berkenaan menimbulkan pelbagai persoalan kerana keadaan binaannya dilihat tidak sempurna selain mempunyai sambungan paip dan pendawaian elektrik yang meragukan.
"Saya ada bertanya pandangan beberapa kenalan yang bekerja sebagai arkitek dan mereka juga berpendapat struktur itu kelihatan mencurigakan.
"Kalau melihat kepada keadaan bangunan itu, saya tertanya-tanya sama ada ia mendapat kelulusan pihak berkuasa atau sebaliknya kerana faktor keselamatan juga perlu diberi perhatian," katanya.
Azad berkata, video berkenaan pada asalnya dimuat naik di Instagram Story miliknya sebelum kembali tular baru-baru ini selepas dikongsi semula di media sosial.
Dia bagaimanapun tidak mahu membuat sebarang tuduhan berhubung status sebenar penempatan itu dan menyerahkan perkara berkenaan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut.
"Saya bukan sengaja pergi ke situ untuk mendedahkan apa-apa. Saya hanya kebetulan tersesat jalan dan ternampak kawasan itu.
"Kalau benar terdapat sebarang pelanggaran undang-undang atau peraturan, saya percaya pihak berkuasa lebih arif untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya.















